Utusan Borneo (Sabah)

25 pemain wanita jalani latihan pusat fasa akhir KL2017

- - Bernama

KUALA LUMPUR: Seramai 25 pemain bola sepak wanita kebangsaan hari ini disenaraik­an ketua jurulatih, Mohd Asyraff Abdullah bagi menjalani latihan pusat fasa akhir sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), dari 19 hingga 30 Ogos.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan kelmarin berkata 23 pemain daripada kem latihan fasa ketiga Program Kita Juara 2017 dikekalkan, dan hanya seorang pemain baharu dipanggil iaitu Norshahira Suhaimi dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Sabah bagi menggantik­an Siti Nur Azzati Shaik Maznan (Kedah).

Kehadiran semula penjaga gol, Roszaini Bakar daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula menyaksika­n Nurul Athirah Al Jafri, 17, dari SSM Sabah terpaksa digugurkan pada kem latihan selama enam minggu itu yang dijadual bermula 2 Julai depan.

Selain menjalani latihan yang akan berpusat di Pusat Jeonsa, skuad wanita Harimau Malaya turut akan menghadiri Kem Bina Semangat di Kem Asahan, Melaka bermula 9 hingga 12 Julai ini.

Sementara itu, beberapa siri perlawanan persahabat­an bagi menguji kemampuan skuad bimbingan Mohd Asyraff itu turut akan diadakan sepanjang kem latihan pusat fasa akhir tersebut.

Untuk rekod, pencapaian terbaik skuad wanita Harimau Malaya pada Sukan SEA adalah meraih pingat perak selepas tewas 0-1 kepada pasukan tuan rumah, Thailand pada edisi 1995.

Senarai 25 pemain:

Penjaga Gol - Asma Junaidi (Sarawak), Roszaini Bakar (ATM), Nurul Azurin Mazlan (Sabah). Pertahanan - Nurul Husna Mohd Nazri (Kedah), Nurathirah Farhanah Zairi (Pulau Pinang), Malini Nordin (Perak), Mira Fazliana Aidi (Perak), Marcella Angela Parais (Pahang), Shereilynn Elly (Sabah), Usliza Usman (PDRM), Nabila Naim (PDRM), Tengah - Nur Shazwina Shuib (Kedah), Jaciah Jumilis (Sabah), Masturah Majid (Sabah), Haindee Mosroh (Sarawak), Norsuriani Mazli (PDRM), Dadree Rofinus (MISC), Eslilah Esar (MISC), Nor Athirah Mamat (Sabah), Norshahira Suhaime (Sabah). Penyerang - Nur Haniza Saarani (Perak), Puteri Noralisa Wilkinson (Pahang), JI. Fedalliah Claritta Jaimin (UMS), Siti Rohani Saptu (Sarawak), Angela Kais (PDRM).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia