Utusan Borneo (Sabah)

Pandu cuai dan berbahaya, lesen memandu diendors tiga tahun

-

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini memerintah­kan lesen memandu seorang pemandu lori diendors selama tempoh tiga tahun, atas kesalahan memandu dengan cara berbahaya dan cuai.

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Junis Minggu, setelah membenarka­n rayuan pihak pendakwaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwara­ya Nartiah F. Mirchell Sambatan menentang keputusan mahkamah rendah yang tidak menggantun­g lesen memandu responden.

Menurutnya, beliau membuat permohonan berkenaan kerana ketika Mahkamah Majistret memberikan perintah, tiada arahan berkaitan dengan perkara terbabit.

Pada 24 Oktober tahun lalu, Junis dikenakan penjara 28 bulan selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara antara dua tahun hingga sepuluh tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM20,000 serta lesen memandu digantung tidak kurang tiga tahun.

Responden didapati melakukan kesalahan itu pada 24 Mei 2013 jam 10.25 malam, di SFI Sipitang ke Mendulong Nesry dan Jalan Kampung Muaya SipitangTe­nom.

Dalam pada itu, Junis tidak diwakili peguam.

Sementara itu, mahkamah membenarka­n permohonan jaminan seorang lelaki yang didakwa merogol anak tirinya.

Nurchaya memberikan ikat jamin sebanyak RM5,000 yang dicagarkan dua penjamin tempatan terhadap tertuduh yang diwakili peguam Datuk Chow Chin Tang.

Selain itu, mahkamah juga memerintah­kan tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat mengikut masa yang ditetapkan dan tidak dibenarkan berhubung dengan saksisaksi pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa yang berusia 17 tahun pada waktu kejadian, penghujung Mei tahun lalu jam 1 petang di sebuah rumah tidak bernombor, Inanam, di sini.

Sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun, serta tidak kurang sepuluh kali sebatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia