Utusan Borneo (Sabah)

Tennis: Federer intai mahkota Wimbledon kelapan

-

HALLE WESTFALEN: Legenda Swiss Roger Federer menumpaska­n Alexander Zverev untuk memenangi kejuaraan Halle kesembilan­nya Ahad lepas dan mengakui dia rasa segar menjelang kempennya untuk memenangi mahkota Wimbledon kelapan pada bulan depan.

Pemain pilihan utama itu tewas dalam perlawanan pertamanya bagi musim gelanggang rumput pada minggu lepas di Stuttgart kepada Tommy Haas, tetapi mempamerka­n prestasi yang cemerlang sepanjang minggu di Halle, yang berakhir dengan kemenangan 6-1, 6-3 dalam perlawanan akhir pada Ahad lepas ke atas pemain kegemaran penonton tuan rumah, Zverev.

Federer akan memulakan cabaran di Wimbledon, yang bermula pada 3 Julai, sebagai pemain pilihan untuk memenangi kejuaraan kelapan dan memecah rekod tujuh kejuaraan yang dia kini pegang bersama Pete Sampras.

“Saya meragui diri saya sendiri sedikit, saya mesti akui, kerana kekalahan pada pusingan pembukaan buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun di atas rumput sentiasa meresahkan saya sedikit dan itulah apa yang berlaku,” akui Federer.

“Saya gembira untuk bertindak balas serta-merta dan melupakann­ya dan maju ke depan dan mengingatk­an diri saya bahawa asya sebenarnya dapat bermain dengan baik di atas rumput.

“Ia adalah satu rangsangan bagi saya secara peribadi, dengan keyakinan saya, kerana saya tahu badan saya cergas. Dari segi mental, saya segar semula dan saya sudah biasa dengan permainan dalam perlawanan.”

Zverev, juara kejohanan Master Rom, memenangi ketiga-tiga perlawanan akhirnya sebelum ini pada musim ini, tetapi ditewaskan oleh permainan yang cemerlang dari Federer, juara kejohanan utama sebanyak 18 kali, dalam masa hanya 53 minit sahaja pada Ahad lepas.

“Saya bermain dengan hebat, saya rasa bagus dari mula lagi,” kata Federer.

“Ia ternyata perlawanan terbaik saya pada minggu ini. Selepas berehat panjang, saya rasa amat bagus dan ia menyeronok­kan untuk kembali dan saya cergas untuk Wimbledon.” Pemain berusia 35 tahun itu, yang tidak menyertai seluruh musim gelanggang tanah liat, masih hanya tewas dalam dua perlawanan sahaja pada tahun ini untuk memenangi empat kejuaraan, termasuk Terbuka Australia pada Januari lalu.

“Matlamat saya adalah untuk menyimpan diri saya 100 peratus bagi musim rumput,” tambahnya.

“Saya sekarang berharap saya akan terus sihat dalam bahagian kedua musim ini dan kita akan lihat apa yang akan berlaku.”

“Saya umpama di atas awangawang­an sekarang selepas kemenangan kesembilan di sini di Halle. Ia adalah satu perasaan yang hebat untuk menang di sini sekali lagi kerana saya tidak pasti sama ada saya akan mendapat peluang untuk memenangi ini lagi, jadi ia adalah penting untuk menikmatin­ya.”

Federer memulakan perlawanan dengan bersemanga­t dan merampas mata servis dua kali untuk memenangi empat permainan pertama dalam perlawanan itu.

Penonton tuan rumah cuba sedaya upaya untuk menyokong Zverev, pemain nombor 12 di dunia, dan walaupun dia menang dalam permainan kelima, Federer merampas mata servis sekali lagi untuk memenangi set pembukaan dalam masa hanya 23 minit sahaja.

Zverev, 20 tahun, bertarung dengan hebat untuk mencabar lawannya yang ternama pada permulaan set kedua, tetapi gagal untuk mengatasi servis Federer.

Juara kejohanan utama sebanyak 18 kali itu mempamerka­n prestasi yang tidak dapat dibendung dan dia menghasilk­an dua mata ‘break’ selepas satu rali yang mengujakan.

Satu pukulan sangga depan dan permainan servis yang selesa memberi satu permainan lagi kepada Federer untuk mencapai kemenangan.

Dia dengan yakin melakukan servis untuk menamatkan perlawanan dan memenangi kejuaraan Jelajah ATP ke-92 dalam kariernya, yang bermakna ia memerlukan dua kejuaraan lagi untuk menandingi Ivan Lendl yang menduduki tempat kedua dalam senarai sepanjang zaman. – AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia