Utusan Borneo (Sabah)

Serena bidas kenyataan McEnroe

-

NEW YORK: Serena Williams, juara perseorang­an Grand Slam sebanyak 23 kali, kelmarin menyelar kenyataan John McEnroe bahawa dia hanya akan menduduki tempat sekitar ranking ke-700 dalam litar tenis lelaki.

McEnroe, seorang pemenang perseorang­an Grand Slam sebanyak tujuh kali, menganggap Williams “pemain wanita terbaik dalam sejarah – tiada persoalan”, dalam kenyataan yang disiarkan oleh National Public Radio pada Ahad lepas.

Tetapi apabila ditanya kenapa dia tidak boleh dianggap terbaik sepanjang zaman, McEnroe menambah: “Jika dia terpaksa bermain dalam litar itu – litar lelaki – itu adalah cerita yang berbeza sama sekali.”

McEnroe, yang bercakap dalam jelajah untuk mempromosi­kan buku baharunya ‘But Seriously’, berkata dia akan meletakkan Williams “mungkin 700 dalam dunia” dalam Jelajah ATP.

Kelmarin Williams menjawab dalam dua posting Twitter.

“Wahai John, saya menyanjung dan menghormat­i anda tetapi tolonglah, tolonglah, jangan libatkan saya dalam kenyataan anda yang tidak berasaskan fakta,” tulisnya.

“Saya tidak pernah menentang sesiapa yang diranking ‘di sana’ dan saya tidak ada masa untuk berbuat demikian. Hormatilah saya dan privasi saya kerana saya sedang berusaha untuk melahirkan bayi. Selamat siang, tuan.”

Williams, 35 tahun, memenangi Terbuka Australia pada tahun ini untuk mahkota Melbourne ketujuhnya dan kejuaraan perseorang­an Slam ke-23, yang mencipta rekod dalam Era Terbuka dan meletakkan­nya satu kejuaraan lagi untuk menyamai rekod kejuaraan perseorang­an sepanjang zaman milik Margaret Court.

Pada April lalu, Williams mengumumka­n dia mengandung dan tidak akan bertanding lagi pada musim ini.

Williams sudah memenangi Wimbledon dan Terbuka Australia sebanyak tujuh kali, Terbuka Amerika Syarikat (AS) enam kali dan Terbuka Perancis tiga kali.

McEnroe, 58 tahun, adalah bekas pemain nombor satu dunia seperti Williams. Dia memenangi empat Terbuka AS dan tiga kejuaraan perseorang­an Wimbledon. – AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia