Utusan Borneo (Sabah)

Pengabaian terhadap anak adalah satu kesalahan

-

KUCHING: Ibu bapa kanak-kanak yang maut akibat terkena ledakan mercun dalam satu insiden di Kampung Bintawa Hilir baru-baru ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak (Pindaan 2016) jika wujud unsur pengabaian.

Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kes berkenaan adalah sangat serius kerana ia menyebabka­n kematian dan beliau amat kesal dengan kejadian itu.

“Memang kes ini dalam siasatan polis tetapi kita akan bertegas mengambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak ke atas ibu bapa jika terbukti wujud pengabaian.

“Membiarkan anak yang masih kecil bermain bahan berbahaya seorang diri tanpa pengawasan ibu bapa atau orang dewasa adalah satu kes pengabaian.

“Bukan kita tidak bersimpati dengan musibah melanda keluarga ini. Mungkin ada pihak mengatakan ‘baharu sahaja kehilangan anak kesayangan, kini menteri pula mengeluark­an amaran dan sebagainya’, tetapi ini kes sangat serius, kehilangan nyawa seorang kanak-kanak, jangan ia berulang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui ketika kunjungan Hari Raya Aidilfitri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib di kediamanny­a.

Rohani mengulas insiden yang berlaku pada awal pagi Ahad lepas, yakni menjelang Hari Raya Aidilfitri yang mengorbank­an Haiqal Hakim Zolpaka, 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai, semasa kejadian mangsa bermain mercun seorang diri di luar rumah mereka sekitar jam 12.15 pagi manakala bapanya sedang sibuk mengemas rumah.

“Ketika itu bapa mangsa mendengar letupan di luar rumah lantas dia terus keluar rumah dan melihat anaknya (mangsa) terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan parah di kepala,” kata Abang Ahmad.

Mengulas lanjut Rohani yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata, kes berkenaan akan dibincang pada mesyuarat Majlis KanakKanak Malaysia (MKKM) yang dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri.

Tambahnya input daripada mesyuarat MKKM itu akan disarankan kepada Majlis Sosial Negara yang dipengerus­ikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tindakan seterusnya.

“Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat bersedia memberi kaunseling kepada ibu bapa serta ahli keluarga adik Haiqal Hakim, mereka mungkin masih trauma dengan insiden tersebut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia