Utusan Borneo (Sabah)

Langgar syarat pas kerja, buruh warga asing dipenjara

-

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing yang melanggar syarat pas kerja, dikenakan penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin.

Amir Mumin, 27, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Azreena Aziz selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1963.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM5,000, atau dengan kedua-duanya sekali.

Tertuduh didapati melanggar syarat pas kerja sebagai buruh binaan pada 18 Jun tahun ini jam 1 pagi di tapak binaan Kampung Siasai, Kota Belud.

Dalam rayuan, tertuduh menyatakan sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

“Saya mahu balik ke negara asal dengan segera,” katanya yang tidak diwakili peguam.

Pegawai Pendakwa Insp Suzie @Stephanie Kupit meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Sementara itu, 13 warga asing yang antaranya seorang ibu tunggal dikenakan penjara empat hingga lima bulan serta satu sebatan, kerana memasuki negara ini secara haram.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap semua tertuduh selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 (1) (c) akta sama.

Semua tertuduh yang berusia 18 hingga 52 tahun mengaku sudah berada di negara ini tanpa pas yang sah antara satu dan tujuh tahun.

Bagaimanap­un, tiada sebatan dikenakan terhadap wanita dan mereka yang berusia 18 tahun serta 50 tahun ke atas.

Mahkamah memerintah­kan mereka menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutny­a.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia