Utusan Borneo (Sabah)

Kedah tanggung kos pendawaian semula rumah mangsa kebakaran

-

SUNGAI PETANI: Kerja pendawaian semula empat buah rumah yang terjejas akibat kebakaran pada Selasa lepas akan dilakukan secepat mungkin bagi membolehka­n penghuni kembali mendiami rumah terbabit.

Pengerusi Jawatankua­sa Pendidikan, Pengangkut­an dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata kos pendawaian semula bagi keempat-empat rumah terbabit ianggarkan RM20,000.

“Kos akan ditanggung oleh kerajaan negeri dan kita akan meminta kontraktor membuat penilaian segera bagi membolehka­n kerja-kerja pendawaian semula dilakukan dalam minggu ini.

“Manakala sebuah lagi rumah yang musnah teruk, mempunyai insurans kebakaran dan selepas selesai urusan tuntutan insurans, kita akan pertimbang­kan bantuan yang sesuai untuk dihulurkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah terbabit di Taman Ria dekat sini, kelmarin.

Dalam kebakaran awal pagi itu, sebuah rumah teres kos rendah kelas A musnah manakala empat lagi rumah bersebelah­an rosak, malah dua buah kereta dan 12 buah motosikal turut musnah.

Dalam pada itu, mangsa, Shafie Abu, 65, berharap agar pihak insurans dapat mempercepa­tkan proses tuntutan bagi membolehka­n mereka sekeluarga memiliki rumah baharu.

“Sekarang ini kami bertiga terpaksa tinggal sementara di rumah anak perempuan di Bandar Puteri Jaya,” katanya.

Seorang lagi pemilik rumah yang turut terjejas dengan kejadian itu, Md Daud Md Nor berkata dua malam pertama selepas kebakaran dia terpaksa tinggal di hotel namun malam tadi beliau kembali ke rumahnya untuk mengemas sebelum sesi persekolah­an cucunya bermula.

“Kami tiada saudara di sini, paling dekat hanya di Pulau Pinang, nak tidur di hotel setiap hari, memang tak mampu sebab itu kami balik, bersihkan kesan kebakaran dan tidur di sini,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia