Utusan Borneo (Sabah)

Polis tahan tiga lelaki lolos sekatan jalan raya, dipercayai penagih dadah

-

GEORGE TOWN: Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja yang cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya Op Selamat 11/2017 di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal kelmarin.

Komander Operasi SubTek Zon Utara Op Selamat, Supt Shahrum Hashim berkata tiga lelaki berusia 17 hingga 28 tahun itu cuba bertindak memecut kereta dinaiki mereka ketika dihampiri oleh anggota dan pegawai trafik yang bertugas dalam Op Selamat berkenaan.

“Hasil tindakan pantas polis telah berjaya menahan kereta dinaiki tiga lelaki itu pada pukul 1 pagi ketika mereka cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaa­n terhadap kenderaan itu menemui tiga plastik lutsinar dipercayai dadah jenis syabu dan rokok daun yang dicampur dengan ganja,” katanya di sini kelmarin.

Beliau berkata pemeriksaa­n lanjut terhadap kereta mereka mendapati terdapat tiga waran tangkap atas kesalahan tiada lesen memandu dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Shahrum berkata kereta berkenaan didaftarka­n atas nama ibu kepada seorang daripada lelaki yang ditahan itu dan pihaknya turut memanggil wanita tersebut untuk siasatan lanjut.

Katanya tiga lelaki yang disyaki penagih dadah itu menyembuny­ikan syabu serta ganja di dalam bekas berisi gula-gula bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Sementara itu, Shahrum berkata sepanjang Op Selamat kali ini pihaknya menggunaka­n ‘true kamera’ dan dapat mengesan lebih banyak pengguna jalan raya yang memandu melebihi had laju.

“Selain itu, polis turut mengesan penunggang motosikal yang tidak mematuhi peraturan pengangkut­an jalan raya dengan menyampaik­an mesej Hari Raya di papan nombor pendaftara­n motosikal sehingga nombor tidak dapat dilihat,” katanya.

Katanya seramai 35 pegawai dan anggota polis Trafik Bukit Aman, IPD Barat Daya serta IPD Timur Laut terlibat dalam Op Selamat berkenaan. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia