Utusan Borneo (Sabah)

APMM lumpuhkan aktiviti mengumpul ikan di tengah laut oleh nelayan asing

-

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) berjaya melumpuhka­n aktiviti mengumpul hasil tangkapan ikan di perairan negara oleh nelayan asing, semalam.

Menerusi satu kenyataan kelmarin, Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Timur, (Operasi) Kepten Maritim V. Pannir Selvan berkata ia susulan penahanan sebuah bot asing bersama 14 awak-awak dipercayai warga Vietnam termasuk seorang tekong berusia antara 20 hingga 48 tahun.

Katanya ketika melakukan rondaan dalam Operasi Pagar Laut kira-kira pukul 7.30 pagi pihaknya telah mengesan bot bernombor pendaftara­n BTH99918TS dalam keadaan mencurigak­an kira-kira 35 Batu Nautika dari Timur Laut Pulau Tioman, Kuantan.

“Bot tersebut didapati tidak mempunyai permit dan lesen untuk menangkap ikan di perairan Malaysia selain itu tiada kebenaran untuk bersauh dan memasuki Malaysia. Dalam Operasi Pagar Laut ini, kita melipatgan­dakan lagi operasi dan rondaan bagi mengekang kemasukan bot nelayan asing di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia terutamany­a di perairan Pantai Timur yang meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Bot tersebut juga didapati merupakan bot induk yang sedang menunggu untuk memungut hasil ikan dan udang daripada bot lain di tengah laut sebelum dibawa balik ke tempat mereka,”katanya.

Kesemua mereka ditahan dan dibawa balik ke jeti APMM Pangkalan Maritim Kemaman untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia