Utusan Borneo (Sabah)

LRA simpang renggam beroperasi semula

-

JOHOR BAHRU: Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam dekat Kluang, yang dihentikan operasinya akibat bacaan ammonia yang tinggi, dimulakan semula operasinya sejak awal malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill Sdn Bhd Jamaluddin Jamal berkata operasi merawat air mentah dapat dilakukan apabila pencemaran ammonia daripada sumber air di Sungai Benut sudah menurun.

“Berikutan itu, bekalan air bersih di sekitar Simpang Renggam dapat disalurkan kepada pengguna malam tadi. Bagaimanap­un, masih ada beberapa kawasan berbukit masih belum menerima air seperti di Bukit Nyamuk dan Bukit Kenangan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata lima lori tangki masih disediakan bagi membekalka­n bekalan air bersih di kawasan yang masih terjejas dan SAJ Ranhill Sdn Bhd berharap bekalan air di kawasan itu pulih sepenuhnya malam ini.

Pada masa sama, syarikat itu akan meneruskan pemantauan terhadap sumber air mentah Sungai Benut bagi memastikan bebas pencemaran, katanya.

Semalam, SAJ Ranhill Sdn Bhd menerusi pemberitah­uan yang dimuat naik di laman Facebook ‘Setitis Yang Bermakna’, memberitah­u bahawa pencemaran ammonia itu berpunca daripada kolam resapan larut ‘leachate’ di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Ladang CEP 1, Renggam, yang pecah sehingga mengakibat­kan pencemaran sumber air mentah dari Sungai Benut.

Operasi LRA Simpang Renggam terpaksa dihentikan berikutan bacaan ammonia 13 per juta (PPM) berbanding bacaan 1.5 PPM yang dibenarkan Kementeria­n Kesihatan.

Penutupan LRA itu menjejaska­n 6,000 akaun pengguna di kawasan Simpang Renggam, yang terputus bekalan air sejak petang, dua hari lepas.

Sementara itu, Pengurus SWM Environmen­t Sdn Bhd Wilayah Johor Mohd Zan Arris berkata tindakan pemulihan benteng penghadang air resapan larut ‘leachate’ di tapak pelupusan berkenaan telah dilakukan sejak Khamis lepas.

Beliau berkata langkah proaktif berkenaan dilakukan SWM Environmen­t Sdn Bhd dengan kerjasama SAJ Ranhill Sdn Bhd dan Jabatan Alam Sekitar selain siasatan terperinci bagi permasalah­an berkenaan terus dijalankan.

“Pihak SWM Environmen­t Sdn Bhd akan memaklumka­n perkembang­an dan tindakan terkini dari semasa ke semasa,” katanya menerusi kenyataan kelmarin.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia