Utusan Borneo (Sabah)

Pas P.Pinang akan serah memorandum kepada Agong

-

KEPALA BATAS: Pas Pulau Pinang akan mengemukak­an memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah campur tangan kerajaan DAP Pulau Pinang dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.

Pesuruhjay­a Pas Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof berkata Pas negeri konsisten meminta kerajaan negeri menarik balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankua­sa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersemba­hkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita harap mereka tarik balik (pekeliling itu). Saya harap mereka memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan di Malaysia amnya kerana soal fatwa ini adalah perkara yang tidak patut campur tangan luar berlaku. Isu ini hangat diperkatak­an dan sudah lama.

“Pas Pulau Pinang konsisten mendesak...sampai setakat ini tidak ada apa-apa daripada kerajaan negeri khususnya DAP untuk memohon maaf,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubunga­n PAS Pulau Pinang di Markas Tarbiyyah Pas Pongsu Seribu, di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam Shariful Azhar Othman dan Adun Penaga Datuk Mohd Zain Ahmad.

Pada10Febl­epas,Pengerusi Badan Perhubunga­n Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pekeliling itu bercanggah dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbira­n Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4).

Beliau berkata enakmen berkenaan tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankua­sa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau perkenan MMK Negeri Pulau Pinang yang dipengerus­ikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum dipersemba­hkankepada­Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatka­n perkenan.

Pas Pulau Pinang sebelum ini turut membuat laporan polis mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP berhenti mencampuri urusan Jawatankua­sa Fatwa Negeri, termasuk membenarka­n empat fatwa yang dikatakan tertangguh diwartakan segera.

Muhammad Fauzi berkata pihaknya sedang bekerjasam­a dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan bukan kerajaan Islam (NGI) untuk membincang­kan cara dan kaedah yang sesuai bagi menyelesai­kan isu itu.

Sementara itu, Reezal Merican yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata Jawatankua­sa Fatwa sepatutnya menjadi sebuah badan bebas yang tidak memerlukan campur tangan daripada mana-mana pihak.

“Jawatankua­sa Fatwa perlu merupakan suatu platform yang bebas. Ini bersesuaia­n dengan Perkara 3 dalam Perlembaga­an Persekutua­n. Tapi apa yang dibuat (campur tangan kerajaan negeri) sedikit sebanyak seakanakan fatwa yang dibuat oleh Jawatankua­sa Fatwa boleh dikekang oleh Exco,” katanya.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia