Utusan Borneo (Sabah)

Cekal teruskan tradisi paluan kompang

-

MELAKA: Seorang pembuat kompang di Melaka masih cekal menghasilk­an alat muzik itu yang biasanya menjadi pelengkap majlis kenduri perkahwina­n orang Melayu.

Muhamad Shabri Kasim, 35, berkata permintaan pelanggan bergantung mengikut musim dan biasanya ia meningkat menjelang cuti sekolah yang menjadi musim mengadakan majlis perkahwina­n.

“Bila tiba musim cuti sekolah, kita terima banyak tempahan kompang berbanding biasa iaitu dalam lingkungan 150 hingga 200 buah,” kata generasi kedua pembuat kompang itu kepada Bernama.

Muhamad Shabri berkata selain menerima tempahan dalam negeri, beliau pernah menerima tempahan dari luar negara seperti Belanda, Korea Selatan, Itali dan Qatar.

Dengan lebih lima tahun pengalaman menghasilk­an kompang, beliau berkata secara purata syarikat miliknya Gema Seni yang terletak di Kampung Pulai, Merlimau mampu menghasilk­an 100 kompang sebulan dengan bantuan dua pekerja.

Muhamad Shabri berkata harga kompang dijual berdasarka­n saiz dan ia secara purata dijual dengan harga RM75 sebuah

“Kita mengutamak­an kualiti dalam menghasilk­an kompang agar ia mampu bertahan lebih lama... biasanya kompang yang kami hasilkan dapat digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun,” katanya.

Muhamad Shabri berkata walaupun menggunaka­n bantuan mesin bagi mempercepa­tkan proses pengeluara­n, beliau masih menggunaka­n kaedah tradisiona­l dalam proses memaku bagi menjaga kualiti kompang yang dihasilkan.

Beliau berkata kompang terhasil gabungan daripada dua material utama iaitu kayu dan kulit kambing.

“Pelbagai jenis kayu boleh digunakan untuk membuat kompang seperti kayu leban, sena, nangka, mangga dan mahogani. Kayu yang sudah dipotong, dilarik menjadi rangka atau bingkai berbentuk bulat yang lebih tepat dikenali sebagai ‘baloh’,” katanya.

Selain kompang, syarikat itu turut menghasilk­an alat muzik tradisiona­l lain seperti gendang silat, rebana tradisiona­l, rebana moden dan jidur.

Dalam pada itu, Muhamad Shabri berhasrat menubuhkan pasukan kompangnya sendiri dengan pemainnya mengenakan busana tradisiona­l dalam usaha memelihara budaya masyarakat Melayu itu. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia