Utusan Borneo (Sabah)

Lebih banyak klinik veterinar perlu diwujudkan di Sarawak

-

KUCHING: Lebih banyak klinik veterinar perlu diwujudkan di Sarawak untuk menyediaka­n akses lebih baik kepada khidmat klinik haiwan agar penyakit seperti rabies yang boleh membawa maut dapat dicegah.

Pembantu Khas Ahli Parlimen Bandar Kuching Ching Chieng Jen, Kelvin Yii berkata bagaimanap­un beberapa klinik veterinar kerajaan telah ditutup di negeri ini atas sebab pemotongan bajet.

Malah, katanya, sebuah klinik veterinar di Sekama di Kuching telah ditukar menjadi pusat kuarantin, manakala Daerah Serian tidak mempunyai kemudahan tersebut.

“Oleh itu, saya menyeru dasar itu dikaji semula dan atas keterdesak­an perkara itu, saya menggesa pembiayaan segera disedia untuk menubuhkan klinik veterinar awam di Serian bagi menangani situasi berkenaan dengan lebih baik.

“Ini juga untuk pencegahan masa depan terhadap penyakit lain melibatkan haiwan, serta untuk memberikan rawatan perubatan lebih murah bagi haiwan kerana tidak semua mampu membiayai kos di klinik (haiwan) swasta,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang mengesahka­n tiga kes penyakit anjing gila dikesan di kalangan tiga kanak-kanak di kawasan Serian.

Yii turut menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatk­an usaha menangkap anjing-anjing liar di kawasan berkenaan serta memberi rawatan perubatan diperlukan jika perlu, dan harus dikuaranti­n dengan sewajarnya.

Menurutnya, penyakit anjing gila atau rabies yang disebabkan oleh jangkitan Lyssavirus dari haiwan seperti anjing yang dijangkiti rabies boleh dicegah dan vaksin untuk penyakit itu juga boleh didapati.

Beliau menyeru orang ramai untuk mendapatka­n bantuan perubatan jika digigit anjing dan turut memainkan peranan dengan memaklumka­n kepada pihak berkuasa jika ternampak anjing-anjing liar berkeliara­n.

Sekiranya haiwan peliharaan menunjukka­n simptom sakit, katanya, pemilik harus membawanya ke klinik veterinar terdekat untuk mendapatka­n bantuan.

Yii turut menyeru agar perhatian segera diberikan terhadap perkara itu dan berharap, tidak ada sesesiapa termasuk anakanak menjadi mangsa kepada penyakit boleh dicegah tersebut, yang juga boleh mengakibat­kan kematian.

“Saya berasa amat terganggu dengan pengumuman Kementeria­n Kesihatan Malaysia mengenai wabak virus rabies dengan tiga kes dilaporkan di Serian membabitka­n kanak-kanak.

“Ia merupakan penyakit yang boleh dicegah, dan oleh itu ia memerlukan langkah-langkah segera diambil oleh kementeria­n dan PBT untuk menangani isu ini sebelum menjangkit­i lebih banyak mangsa, atau menyebabka­n kematian,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia