Utusan Borneo (Sabah)

Lee bentang isu keluarga di Parlimen

Perbalahan terbuka dengan adik-adiknya mengundang keresahan di Singapura

-

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam menepis dakwaan adik-adiknya bahawa beliau menyalahgu­nakan kuasa dan mengamalka­n nepotisme tatkala berdepan Parlimen berhubung perbalahan keluarga yang mengejutka­n negara tersebut.

Namun beliau menolak kemungkina­n akan menyaman adik-adiknya atas serangan dalam talian mereka berhubung warisan bapa mereka Lee Kuan Yew, pemimpin pengasas Singapura.

Negara itu dikawal ketat di mana penapisan dan saman fitnah digunakan ke atas pengkritik keluarga pertama.

“Dakwaan mereka tidak berasas sama sekali,” kata Lee, 65, pada sesi biasa di Parlimen.

Adik perempuann­ya Wei Ling, 62, dan adik lelakinya Hsien Yang, 60, menuduh beliau memperguna­kan warisan bapa mereka untuk agenda politiknya sendiri dan berusaha memupuk anak lelakinya Li Hongyi, kini seorang penjawat awam kanan yang terlibat dalam perkhidmat­an data kerajaan, untuk menjadi pemimpin negara tersebut suatu hari nanti.

Perbalahan tersebut yang terdedah bulan lepas, merupakan kemuncak kepada pertikaian mengenai kedudukan banglo keluarga sejak kematian bapa mereka pada 2015, yang memerintah Singapura dengan kuku besi di samping mengubah negara itu menjadi antara masyarakat terkaya di dunia.

Lee menyeru debat terbuka di Parlimen selepas serangan dalam Facebook ke atasnya dan isterinya Ho Ching, yang merupakan CEO dana pelaburan kerajaan Temasek Holdings.

Lee memohon maaf buat kali kedua berhubung perbalahan itu dan menolak dakwaan nepotisme, sebaliknya mempertika­i ketua pegawai eksekutif Temasek dilantik ahli lembaga yang tertakluk kepada pengesahan Presiden Singapura.

Beliau turut menegaskan bahawa anaknya sudah menjelaska­n pendiriann­ya yang tidak berminat dengan politik.

“Dakwaan mereka merosakkan reputasi Singapura.

“Jika tidak dinafikan, ia juga boleh menjejaska­n keyakinan rakyat Singapura terhadap kerajaan,” katanya kepada Parlimen.

Lee berkata, rakyat Singapura sudah muak dengan topik tersebut dan berharap ia akan ditamatkan.

Bagaimanap­un, beliau menafikan akan menyaman adik-adiknya kerana proses tersebut boleh berlarutan bertahun-tahun sekali gus memburukka­n lagi nama ibu bapa mereka.

Sorotan pertikaian itu adalah sebuah banglo berusia seratus tahun yang diwasiatka­n oleh mendiang Lee agar dirobohkan selepas kematianny­a bagi mencegah penubuhan kultus personalit­i.

Adik-adik Lee mendakwa beliau cuba menyekat proses tersebut untuk mengaut keuntungan daripada warisan bapa mereka, termasuk memupuk anaknya sendiri untuk menjadi pemimpin generasi ketiga, satu tuduhan yang dinafikan Lee dan isterinya.

Keluarga Lee boleh disifatkan seperti keluarga diraja Singapura yang mendominas­i politik negara itu selama hampir enam dekad.

Lee berkata, di sebalik klausa pemusnahan yang menentukan nasib rumah tersebut dalam wasiat terakhirny­a, mendiang bapanya bersedia untuk mempertimb­ang alternatif malah meluluskan pelan pengubahsu­aian sekiranya kerajaan enggan merobohkan­nya.

Beliau menafikan terlibat penubuhan jawatankua­sa menteri-menteri diketuai timbalanny­a Teo Chee Hean untuk meneliti pelbagai pilihan bagi menentukan nasib rumah tersebut yang telah menganjurk­an banyak mesyuarat awal Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah Singapura sejak 1959.

Mendiang Lee menjadi perdana menteri sejak tahun tersebut hingga 1990, manakala Lee sendiri berkuasa sejak 2004.

Singapura hanya pernah memiliki satu perdana menteri bukan dari keluarga Lee iaitu Goh Chok Tong.

Perbalahan tersebut menyorot klausa dalam wasiat terakhir Lee yang menetapkan rumah lama keluarga dirobohkan selepas kematianny­a atau selepas anak perempuann­ya yang belum berkahwin berpindah keluar dari situ.

Mendiang Lee khuatir rumah tersebut akan dijadikan muzium di mana orang tidak dikenali berjalan sesuka hati dalam bilik peribadi keluarga.

Rumah lima bilik serba sederhana di Jalan Oxley itu dibina pada lewat kurun ke-19 di kawasan yang pernah menjadi ladang getah, sebelum nilainya meningkat tatkala Singapura berubah menjadi negara bandar serba makmur.

Tanah tapak rumah tersebut yang terletak di pinggir lebuh beli-belah Jalan Orchard, dianggarka­n oleh ejen hartanah bernilai kira-kira Sg$24 juta. — AFP

 ??  ?? LEE menjelaska­n tentang perbalahan keluargany­a semasa sesi khas Parlimen di Singapura, semalam. — Gambar Reuters
LEE menjelaska­n tentang perbalahan keluargany­a semasa sesi khas Parlimen di Singapura, semalam. — Gambar Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia