Utusan Borneo (Sabah)

Kereta api tergelinci­r di Washington

-

WASHINGTON: Sebuah kereta api yang membawa lebih 250 orang tergelinci­r dari landasan kelmarin dekat Puget Sound di negeri Washington, menurut pegawai bomba dan perkhidmat­an kereta api tempatan.

Menurut Amtrak, kepala lokomotif dan gerabak kereta api 506 yang melalui landasan Amtrak Cascades antara Vancouver, British Columbia dan Eugene, Oregon tergelinci­r dari landasan di atas Jambatan Teluk Chambers di Steilacoom, Washington, pinggir selatan Tacoma.

Jabatan Bomba dan Penyelamat West Pierce berkata, empat gerabak pertama kereta api yang mempunyai 15 gerabak dalam perjalanan ke utara itu tergelinci­r dari landasan.

Imej nahas dipaparkan dalam media berita tempatan menunjukka­n kepala lokomotif terdampar tidak jauh dari pantai Puget Sound dekat Marina Teluk Chambers.

Punca kejadian yang berlaku jam 2.30 petang waktu tempatan itu masih disiasat, tambah Amtrak.

Beberapa orang daripada 267 penumpang kereta api tersebut cedera ringan tetapi tiada kecederaan parah dilaporkan.

Kru kereta api juga tidak mengalami sebarang kecederaan, jelas Amtrak.

Bomba berkata, tiada kecederaan serius atau kebakaran berlaku semasa insiden tersebut.

“Kesemua penumpang dikeluarka­n dengan selamat dan disediakan dengan pengangkut­an alternatif,” lapor Amtrak.

Saluran berita kawasan Seattle KOMO.News.com melaporkan bahawa pihak berkuasa mengerah bot penyelamat dan pasukan penyelam ke tempat kejadian.

Bomba turut melaksanak­an langkah kawalan tumpahan minyak. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia