Utusan Borneo (Sabah)

Sukarelawa­n gema ceriakan pesakit di hospital

-

KUALA LUMPUR: Berbeza dengan kebanyakan sukarelawa­n yang melakukan kerja amal di rumah anak yatim atau orang tua, Pertubuhan Gerak Ehsan Maghfirah Amal (GEMA) sebaliknya memilih hospital untuk aktiviti kebajikan itu.

Penaungnya, Zakaria Mohamad, 50, berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu aktif melakukan program amal di hospital untuk menziarahi pesakit dan waris bagi meringanka­n beban perasaan mereka.

“Program ‘Ziarah Rawat Hati’ tercetus apabila saya sering melihat pesakit yang terlantar dan waris meminta bantuan masyarakat yang tular di laman media sosial walaupun hanya dengan iringan doa.

“Pada mulanya saya seorang diri meninjau keadaan pesakit di wad untuk melihat keperluan mereka sebelum merancang aktiviti. Setelah mendapat kebenaran sebagai pelawat sosial kerohanian daripada pihak hospital, GEMA mengunjung­i pesakit di wad untuk memberi sokongan moral,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang kini menetap di Johor Bahru, Johor berkata program itu juga dapat melahirkan keinsafan dalam diri sukarelawa­n dan menjadikan mereka lebih prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik tanpa mengira kaum, agama mahupun peringkat umur.

Zakaria berkata program berkenaan dijalankan di beberapa hospital antaranya Hospital Sultanah Aminah, Hospital Sultan Ismail dan Hospital Mersing di Johor, Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu dan Hospital Melaka.

Bertemakan ‘Setiap Orang Ada Harinya’, program itu diadakan pada setiap Jumaat dan Ahad selama dua jam bermula 4.30 petang dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya sesi doa, tazkirah, aktiviti keceriaan selain mengagihka­n kurma, kismis dan air zamzam secara percuma.

“GEMA mendapat sumbangan daripada individu dan organisasi yang prihatin. Kami bergerak secara bebas dan tidak berasaskan keuntungan,” katanya.

GEMA merupakan NGO berdaftar, ditubuhkan pada 2013 dan kini mempunyai seramai 220 sukarelawa­n berdaftar.

Sementara itu, sukarelawa­n Zul Fadhlina Mohd Zain, 42, dari Johor Bahru berkata program berkenaan merupakan platform untuk beliau membantu memberi sokongan moral kepada pesakit untuk melawan penyakit melalui kerohanian.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia