Utusan Borneo (Sabah)

Polis kesan dua lelaki bantu siasatan kes cubaan bunuh

-

IPOH: Polis Perak sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan yang membawa kepada cubaan membunuh menggunaka­n senjata api di Menglembu pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Gan Tian Kee berkata kedua-dua lelaki berkenaan dikenali sebagai V. Anantha Kumar, 38, dan K. Ananth, 33, kedua-duanya beralamat di Batu Gajah.

Beliau berkata kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah bersabit Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

“Pihak polis meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil memberi maklumat di talian 05-2401999 atau balai polis berhampira­n,” katanya dalam satu kenyataan di sini kelmarin.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata pihaknya berjaya menangkap tujuh suspek berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun dipercayai terlibat dalam pergaduhan itu.

Hasnan berkata dalam insiden kira-kira 8 malam itu, seorang suspek melepaskan satu tembakan ke arah tiga individu yang berpunca daripada pertengkar­an antara dua kumpulan semasa menonton perlawanan bola sepak di Padang Ipoh kira-kira 4 petang hari yang sama.

Menurutnya suspek kemudian telah melepaskan enam das tembakan ke arah tiga mangsa dan ia mengenai ketiga-tiga mereka yang berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Katanya siasatan polis mendapati mangsa adalah daripada Geng 08, manakala suspek daripada Geng 21 dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata Api 1967. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia