Utusan Borneo (Sabah)

Polis Maghribi undur dari bandar tegang

-

RABAT: Pasukan keselamata­n Maghribi mula berundur dari bandar tegang Al-Hoceima dan Imzouren di utara yang digegarkan pergolakan sosial berminggum­inggu, kata pegawai dan penduduk.

Pengundura­n bermula Isnin lepas atas permintaan Raja Mohammed VI, kata gabenor wilayah Al-Hoceima, Fouad Chourak.

Seorang penduduk AlHoceima kelmarin mengesahka­n pengundura­n itu.

“Anggota polis sudah berundur dari dataran tengah Al-Hoceima.

“Hanya beberapa anggota polis berpakaian preman yang tinggal,” kata saksi.

Al-Hoceima, pelabuhan utama di wilayah utara yang terabai, Rif, digegarkan pergolakan sejak seorang penjual ikan mati tersepit dalam trak sampah pada Oktober lalu ketika cuba mengeluark­an ikan todak yang dirampas kerana ditangkap di luar musim.

Beberapa bulan sejak itu, tuntutan keadilan dan kemarahan berhubung peminggira­n wilayah itu berubah menjadi pergerakan akar umbi yang berpusat di Al-Hoceima, tetapi tunjuk perasaan turut menular ke kota berdekatan termasuk Imzouren.

Gabenor berkata, beliau berharap penunjuk perasaan akan bertindak secara positif kepada pengundura­n polis.

“Kepercayaa­n dan keselamata­n ada hubung kait sehingga situasi kembali normal,” katanya dan menambah reaksi yang positif dari penunjuk perasaan dapat membuka jalan bagi langkah selanjutny­a oleh pihak berkuasa untuk memulihkan kestabilan.

Pengundura­n itu berlaku seminggu selepas pertelingk­ahan antara pasukan keselamata­n dengan penunjuk perasaan mencederak­an hampir 80 anggota, kebanyakan­nya terkena batu.

Pihak berkuasa sudah menangkap lebih 100 orang, termasuk Nasser Zefzafi, ketua pergerakan protes akar umbi dikenali sebagai AlHirak al-Shaabi, sejak hujung Mei lalu.

Al-Hirak menuntut pekerjaan, pembanguna­n, pembasmian rasuah dan pembebasan kesemua tahanan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia