Utusan Borneo (Sabah)

Pemandu baik akan dapat manfaat

Premium menjadi lebih rendah dengan liberalisa­si insurans kenderaan

-

KUALA LUMPUR: Liberalisa­si insurans kenderaan akan menjadikan rakyat Malaysia lebih bertanggun­gjawab ke atas kenderaan mereka, kata Institut Insurans Malaysia (IIM).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzam­an berkata, premium untuk pemandu dan pemilik kenderaan yang baik akan menjadi lebih rendah dengan liberalisa­si insurans kenderaan tersebut.

“Usaha pemilik kenderaan untuk memasang ciri-ciri keselamata­n pada kereta mereka akan menjadi kelebihan tambahan bagi membantu mengurangk­an premium insurans.

“Ia juga akan menggalakk­an pengeluar untuk memasang ciri-ciri keselamata­n pada kereta kerana premium akan berkuranga­n,” katanya kepada Bernama.

Syed Moheeb berkata, pemandu tanpa sebarang kesalahan trafik juga akan mendapat manfaat.

Menurutnya, liberalisa­si itu telah membuka pintu kepada pengguna untuk menjadi pembeli insurans kenderaan yang lebih baik.

“Kita mempunyai 28 syarikat insurans di negara ini. Langkah itu akan meningkatk­an kuasa pengguna untuk memilih pakej insurans yang lebih baik untuk kenderaan mereka.

“Berikutan itu, daya saing dalam kalangan syarikat insurans juga akan meningkat bagi memberi perkhidmat­an lebih baik kepada pelanggan mereka,” katanya.

Mengikut satu kenyataan Bank Negara Malaysia pda 30 Jun, fasa pertama liberalisa­si tersebut telah diperkenal pada 1 Julai 2016 dan berkuat kuasa 1 Julai tahun ini, caj premium insurans akan ditentukan oleh faktor risiko.

Premium insurans itu dikira berdasarka­n jumlah yang diinsurans­kan serta model kenderaan dan tuntutan ganti rugi sebelum ini.

Syarikat insurans juga berpeluang menawarkan premium lebih baik, terutama kepada pelanggan berisiko rendah, manakala pelanggan mempunyai pilihan lebih baik dalam mendapatka­n insurans yang memenuhi keperluan mereka pada harga lebih rendah.

Syed Moheed berkata, walaupun BNM telah mengumumka­n mengenai liberasi tersebut, polisi itu akan hanya berkuat kuasa sepenuhnya menjelang 2019.

“Bagaimanap­un perubahan itu tidak memberi kesan kepada pemegang insurans pihak ketiga kerana kebanyakan mereka adalah daripada kumpulan berpendapa­tan rendah dan kereta mereka lebih lama. Oleh itu, kita tidak mahu membebanka­n mereka,” katanya. — Bernama

Kita mempunyai 28 syarikat insurans di negara ini. Langkah itu akan meningkatk­an kuasa pengguna untuk memilih pakej insurans yang lebih baik untuk kenderaan mereka DATUK SYED MOHEEB SYED KAMARULZAM­AN Ketua Pegawai Eksekutif

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia