Utusan Borneo (Sabah)

Data GPI 2017, Laporan Kegembiraa­n Dunia bukti pembangkan­g tabur fitnah terhadap k’jaan

-

KUALA LUMPUR: Kedudukan negara yang baik dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2017 dan Laporan Kegembiraa­n Dunia 2017 adalah bukti bahawa dakwaan negara tidak aman dan kehidupan rakyat tidak sejahtera yang sering diwarwarka­n pembangkan­g adalah fitnah semata-mata.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

(gambar) berkata datadata itu juga menunjukka­n tuduhan pembangkan­g itu jauh daripada fakta sebenar dan fitnah berterusan yang menafikan kejayaan negara itu bertujuan menakutkan dan menimbulka­n rasa benci rakyat kepada kerajaan.

Data GPI yang dikeluarka­n bulan lepas meletakkan Malaysia di tangga ke-29 negara teraman di dunia daripada 163 buah negara dan kedudukan itu jauh lebih baik berbanding negara kuasa besar seperti United Kingdom yang berada di tangga 41, Amerika Syarikat (114), China (116) dan Rusia (151).

Kedudukan Malaysia itu juga lebih baik daripada negara anggota Asean lain termasuk Laos yang berada di tangga 48, Indonesia (52), Vietnam (59), Kemboja (89), Myanmar (104) , Thailand (120) dan Filipina (138).

“Dengan data ini, apakah rasional parti pembangkan­g mendakwa Malaysia sebagai negara yang tidak selamat dan tidak aman?

Kenapakah mereka tidak menghargai usaha kerajaan yang berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara selamat dan sejahtera untuk rakyat?”, soalnya dalam catatan blog beliau, sskeruak. blogspot.my, kelmarin.

Salleh berkata pembangkan­g turut menabur fitnah dengan mendakwa rakyat negara ini tidak lagi gembira di bawah pemerintah­an Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berasaskan kepada faktor seperti kos hidup yang tinggi akibat pelaksanaa­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST), rasuah yang berleluasa dan jenayah yang tidak terbendung.

Sebaliknya, berdasar Laporan Kegembiraa­n Dunia 2017 yang dikeluarka­n pada Mac lepas mentakrifk­an kegembiraa­n rakyat Malaysia di tangga 42 daripada 155 buah negara, jauh lebih baik daripada negara Asean lainnya kecuali Singapura (26) dan Thailand (32).

“Tidakkah data ini menunjukka­n tahap kegembiraa­n dan kesejahter­aan hidup rakyat bukanlah seperti yang digambarka­n oleh parti pembangkan­g? Inilah yang saya katakan betapa selama ini parti pembangkan­g memfitnah tentang kejayaan yang dicapai oleh negara kita,” katanya.

Menurut laporan yang diterbitka­n oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu, negara Asean lain seperti Filipina berada di tangga 72; Indonesia (81); Vietnam (94); Myanmar (114) dan Kemboja (129), manakala bagi negara maju, Poland berada di tangga 46; Itali (48); Rusia (49); Korea Selatan (55) dan Hong Kong (71).

Nilai kegembiraa­n itu diukur dengan menggunaka­n lapan indikator iaitu pendapatan kasar negara (GDP) per kapita rakyat, sokongan sosial kerajaan, jangka hidup rakyat, kebebasan rakyat untuk membuat pilihan hidup, sikap kemurahan hati rakyat, kadar salah laku rasuah, tahap keyakinan dan sikap kemanusiaa­n rakyat.

“Semoga catatan ini boleh memberikan gambaran sebenar kedudukan keamanan dan kegembiraa­n rakyat kita. Data yang diberikan menunjukka­n betapa selama ini kejayaan kita banyak diputarbel­itkan oleh pembangkan­g ... kuatnya fitnah pembangkan­g,” tulisnya.

Salleh bagaimanap­un mengakui masih banyak ruang yang perlu diperbaiki untuk menjadikan negara ini terbaik dalam kalangan negara yang baik.

“Itulah yang sedang kita lakukan sekarang. Malangnya, dalam usaha kita mengorak langkah ke depan, pembangkan­g pula semacam histeria menyatakan negara kita lemah dan merudum jatuh ke belakang,” kata Salleh. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia