Iclif anjur sidang Kemuncak Tenaga Kepimpinan Asia Kelima pada November
KUALA LUMPUR: Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus Iclif akan menganjurkan Sidang Kemuncak Tenaga Kepimpinan Asia (LESA) Kelima pada 8-9 Nov tahun ini untuk membantu pemimpin hari ini menghadapi cabaran abad ke-21 yang semakin meningkat.
Pengerusinya, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata sidang kemuncak itu, yang bertemakan ‘Kepimpinan Sumber Terbuka’ akan mengkaji dan menjelaskan apa yang diperlukan untuk menjadi pemimpin yang transformatif pada abad ini.
“Konsep kepimpinan pada abad ini kini memerlukan pemikiran baharu yang mengambil kira peningkatan kadar perubahan, globalisasi dunia yang semakin kompleks dan keperluan kemampanan untuk menghadapi ketidaktentuan yang meningkat, “katanya pada pelancaran sidang kemuncak itu di sini pada Rabu.
Beliau berkata Iclif menerajui kaedah sebagai pusat antarabangsa pertama yang berpangkalan di Asia khusus kepada pendidikan eksekutif, penyelidikan, perkhidmatan bimbingan dan rundingan dalam bidang pembangunan kepimpinan dan tadbir urus korporat.
Penyelidikan dan penerbitan konsep baharu dan pandangan dalam kepimpinan serta tadbir urus korporat diberi keutamaan tinggi di pusat tersebut, katanya.
Zeti berkata antara contoh penyelidikan yang membentuk pembangunan kepimpinan dan pemikiran Iclif adalah penyelidikan global yang dimuktamadkan pada 2016 mengenai Kepimpinan Sumber Terbuka, ditulis oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rajeev Peshawaria dan pasukan penyelidikannya.
Kajian itu, bertujuan untuk mengkaji bentuk kepimpinan yang diperlukan untuk menangani cabaran baharudanpeluang dalam sektor tenaga kerja hari ini.
Sementara itu, Peshawaria berkata LESA akan diadakan di Sasana Kijang di Bank Negara Malaysia dan dijangka menarik kira-kira 500 peserta.
Mereka akan mempunyai peluang untuk melibatkan diri untuk memahami mengenai kepimpinan sumber terbuka daripada penceramah terkemuka dunia.
Beliau berkata penceramah dipilih selaras dengan tema tersebut dan juga untuk memastikan sesi berkenaan mengintegrasikan kandungan yang meliputi perspektif global dan menawarkan pandangan Asia.
Peshawaria berkata, sebanyak AS$80 bilion dibelanjakan setiap tahun di peringkat global dalam industri pembangunan kepimpinan, tetapi tidak membuahkan hasil, disebabkan salah tanggapan mengenai teori kepimpinan.Bernama