Utusan Borneo (Sabah)

Pesakit kanser remaja, kanak-kanak perlu perhatian

-

KUCHING: Tangani anak yang menghidap kanser secara menyeluruh agar mereka dapat menjalani rawatan dan pemulihan dengan berkesan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah sambil berkata, pesakit kanser terutama melibatkan remaja dan kanak-kanak amat memerlukan perhatian daripada pelbagai sudut termasuk sosioemosi mereka.

Jelasnya, dalam proses rawatan kepada pesakit kanser iaitu kemoterapi, perubahan fizikal pada pesakit akan berlaku seperti keguguran rambut.

“Perubahan ini sudah pastinya memberi kesan sosioemosi kepada pesakit terutama melibatkan remaja dan kanak-kanak.

“Dan sebab itulah sebagai ibu bapa kita perlu memberi penekanan bukan sahaja dalam merawat tetapi menjaga kerohanian dan semangat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui ketika mengulas mengenai berita seorang remaja perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan disahkan menghidap kanser hati tahap empat yang disiarkan Utusan Borneo baru-baru ini.

Fatimah berkata penekanan terhadap sosioemosi penting agar mereka tidak patah semangat untuk meneruskan kehidupan dan pulih seperti sedia kala.

“Nasihat saya kepada ibu bapa dan remaja tersebut, terus berusaha dan jangan menyerah dan paling penting sentiasa mendekati diri dengan Tuhan,” tegasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia