Utusan Borneo (Sabah)

Hospital Beyond Boundaries bakal buka klinik Orang Asli

-

HOSPITAL Beyond Boundaries (HBB) berhasrat membuka klinik pertama untuk Orang Asli di negara ini dalam tempoh lima tahun lagi, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HBB Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman.

Beliau berkata pada masa ini, HBB melaksanak­an projek perintis dengan kerjasama Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) bagi memberi perkhidmat­an kesihatan kepada Orang Asli di Kuala Woh, Perak.

Sebelum ini, HBB menubuhkan klinik dan hospital untuk etnik minoriti Cham di Kemboja dan memberi perkhidmat­an kepada lebih 3,000 pesakit.

“Kita akan mengembang­kan perkhidmat­an ke Malaysia. Kita mahu memberi fokus kepada Orang Asli pula,” katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Khas pada penyampaia­n Anugerah Perdana Belia Negara 2017 di Putrajaya, baru-baru ini.

Dr Mohd Lutfi, 29, menerima anugerah itu daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membolehka­nnya membawa pulang cek bernilai RM10,000, piala iringan dan sijil penghargaa­n.

Dr Mohd Lutfi berkata beliau terharu dan gembira dipilih sebagai penerima anugerah itu, yang dianggapny­a sebagai tanggungja­wab seorang ikon belia.

“Anugerah ini amat bermakna kepada saya kerana ia adalah dari negara saya sendiri,” katanya.

Sebagai duta belia Transforma­si Nasional 2050 (TN50), beliau pernah dinobatkan sebagai penerima anugerah United Nations Young Leader daripada 18,000 pencalonan dari 186 negara di seluruh dunia.

Pada majlis sama, Nurul Syafinas Ishak dan Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Belia Negara bagi kategori individu wanita dan lelaki dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 serta piala iringan dan sijil penghargaa­n.

Selain itu, Ka Kai Fong memenangi Anugerah Emas Remaja Perdana. Beliau membawa pulang wang tunai RM10,000, piala iringan dan sijil penghargaa­n.

Johan Anugerah Perdana Pertubuhan Belia pula diterima Kelab Beliawanis Seri Sepang, Selangor, manakala naib johan dimenangi oleh Persatuan Belia Beliawanis Bukit Kuda, Labuan.

Johan dan naib johan masing-masing menerima wang tunai RM50,000 dan RM15,000 serta piala iringan dan sijil perhargaan.

Nurul Syafinas, yang menjalanka­n program kemahiran bagi melatih belia tercicir untuk berkecimpu­ng dalam bidang keusahawan­an, berkata tujuh daripada pelatihnya sudah berjaya membuka perniagaan sendiri.

“Perancanga­n saya selepas ini ialah mentadbir urus Kem Seri Keluang di Besut, Terengganu agar dapat melatih lebih ramai belia dalam program kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Anugerah Perdana Belia Negara (Lelaki) dimenangi Muhammad Sherhan Nizam Abdul Aziz, yang merupakan Penghulu Mukim bagi Parlimen Hulu Selangor.

Menjadi penghulu mukim termuda sejak berusia 26 tahun, beliau berkata mentadbir 43 kampung tradisiona­l dengan ketua-ketua kampung yang kesemuanya lebih berusia daripadany­a adalah antara cabaran terbesar dalam menjalanka­n tugas.- Bernama

 ?? -Gambar Bernama ?? TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaik­an Anugerah Khas kepada Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman (dua, kiri) sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) sempena sambutan Hari Belia Negara 2017,...
-Gambar Bernama TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaik­an Anugerah Khas kepada Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman (dua, kiri) sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (tengah) sempena sambutan Hari Belia Negara 2017,...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia