Utusan Borneo (Sabah)

Laporkan aktiviti penyeludup­an tenggiling sunda

- Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Orang awam dinasihatk­an untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat tepat berkaitan mana-mana individu yang terlibat dalam penyeludup­an tenggiling sunda.

Pembantu Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Pang Nyuk Ming berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti haram itu.

“Tindakan memberikan maklumat kepada pihak berkuasa adalah pendekatan terbaik untuk mengelakka­n haiwan itu daripada pupus di Sabah daripada hanya menyebarka­n dakwaan dalam media sosial yang tidak akan membantu mengatasi masalah itu,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika memberi maklum balas yang mendakwa terdapat pengusaha pelanconga­n tidak bertanggun­gjawab bersekongk­ol dengan peniaga restoran di bandaraya ini untuk memesan ‘menu khas’ daging hidupan liar terancam kepada pelancong asing dari China menerusi persetujua­n tertentu.

Katanya antara menu khas itu termasukla­h daging buaya, rusa, ular dan juga tenggiling sunda.

“Walaupun kita masih belum menerima sebarang laporan mengenai aktiviti seumpama itu, tetapi pihak kementeria­n tidak akan memandang ringan terhadap dakwaan ini kerana tenggiling sunda adalah haiwan yang hanya hidup di Sabah dan dilindungi berdasarka­n Jadual 2 Enakmen Pemulihara­an Hidupan Liar 1997.

“Sebarang tujuan memburu atau memiliki tenggiling sun d a memerlukan lesen, pemburu haram yang didapati melakukan perbuatan itu akan dipenjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pang berkata sekiranya dakwaan mengenai penjualan daging tenggiling itu betulbetul wujud, maka mereka yang terlibat dalam aktiviti itu perlu berhenti serta merta kerana ia menyumbang ke arah kepupusan haiwan berkenaan.

Beliau juga menggesa pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah turun padang untuk memeriksa penjualan daging tenggiling sebagai menu makanan kepada para pelancong.

Mengenai populasi tenggiling sunda yang semakin kurang di Sabah, Pang menjelaska­n mungkin disebabkan hilangnya habitat haiwan itu secara semulajadi selain menjadi mangsa kepada perdaganga­n haram.

Baru-baru ini, terdapat laporan yang dinyatakan oleh Elisa Panjang iaitu salah seorang ahli IUCN SSC Pangolin Specialist Group, yang mendedahka­n permintaan terhadap daging tenggiling khusus kepada mereka yang percaya bahawa ia membawa faedah kepada rawatan asma, penyakit radang sendi dan sakit belakang walaupun masih belum ada bukti saintifik yang menyokong perkara itu.

“Sebagai seorang aktivis pemulihara­an haiwan ini, kami kini sedang bertungkus lumus menyelamat­kan tenggiling sunda.

“Tenggiling adalah mangsa terbesar dalam aktiviti perdaganga­n haram di seluruh dunia dan kepupusan binatang itu hanya menunggu masa sahaja,” katanya.

Elisa adalah seorang pelajar doktor falsafah dari Cardiff University yang kini bertempat di Danau Girang Field Centre untuk meneruskan minatnya dalam program pemulihara­an haiwan liar dan alam sekitar.

 ??  ?? PANG
PANG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia