Utusan Borneo (Sabah)

Misi SAR ke Iran kesan pendaki hilang

-

SEPANG: Empat pendaki dari Kelab Jelajah Alpine (KJA) pada Ahad berlepas ke Teheran bagi meneruskan usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang ahli kelab itu Ramli Abdul Majid, 45, yang hilang ketika mendaki Gunung Damavand di Iran pada November lepas.

Ketua misi berkenaan Mohd Khafiz Bachok ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini berkata ini merupakan SAR ketiga untuk mencari Ramli.

“SAR yang pertama selepas kehilangan beliau dilaporkan November lepas sementara SAR kedua pada Disember tahun lepas,” katanya.

Mohd Khafiz berkata SAR ketiga diadakan pada waktu ini kerana Tehran ketika ini mengalami musim panas dan salji yang meliputi Gunung Damavand dijangka mula mencair sekali gus memudahkan usaha menjejak Ramli.

Tambahnya, beliau mengharapk­an doa rakyat Malaysia supaya pasukan SAR kali ini dapat bertemu dengan Ramli dalam apa juga keadaan.

Mohd Khafiz berkata misi berkenan akan mencari Ramli di laluan yang digunakann­ya ketika mendaki sebelum hilang November lepas.

Misi SAR kali ini yang akan disertai Persatuan Bulan Sabit Merah Iran akan turut mencari Ramli di perkampung­an yang terletak berhampira­n gunung itu.

Tiga lagi pendaki yang akan bersama Mohd Khafiz ialah Muhammad Illaham Ishak yang juga Presiden KJA, Azmawi Ismail dan Mohd Azraie Md Yusof.

Pada 22 November tahun lepas, Ramli iaitu seorang Ketua Jurutera Sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings, Shah Alam bersama seorang lagi pendaki KJA, Syed Redzuan Syed Salim Shatri disedari hilang apabila tidak muncul di kem tiga gunung berkenaan.

Pada 28 November, Syed Redzuan ditemukan meninggal dunia di kawasan Yakhar Glacier dan mayatnya kemudianny­a dibawa pulang ke Malaysia.

Namun nasib Ramli masih tidak diketahui sehingga hari ini.

Gunung Damavand setinggi 5,610 m terletak di tengah pergununga­n Alborz kira-kira 75 km dari Tehran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia