Utusan Borneo (Sabah)

Pelajar didakwa ugut bekas kekasih

-

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, menetapkan pada 24 Julai sebagai sebutan semula kes terhadap seorang pelajar yang didakwa mengugut bekas kekasihnya.

Majistret Jessica Ombou Kakayun membuat keputusan itu terhadap ZazZailand Alfano Zainuddin Muhammad, 19, yang mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengugut mangsa dengan menggunaka­n sebilah pisau, pada 30 Jun lalu jam 6.30 pagi, di tingkat lima, sebuah rumah di Api-Api Centre, di sini.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Peguam Goldam Hamid memohon jumlah ikat jamin anak guamnya dikurangka­n kerana masih belajar.

“Ibu tertuduh seorang ibu tunggal yang setiap hari menjual makanan. Sekarang tertuduh tidak dapat menyambung pelajaran kerana tidak mampu membayar yuran,” katanya.

Mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM1,200 yang dicagarkan dua penjamin tempatan, terhadap tertuduh.

Dalam kes berasingan, Jessica mengenakan penjara 12 bulan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah memiliki syabu seberat 0.79 gram.

Jerry Methew melakukan kesalahan itu pada 9 Februari lalu jam 2.05 petang, di sini.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau dengan kedua-duanya sekali.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia