Utusan Borneo (Sabah)

Salur peruntukan mangsa musibah terus kepada wakil rakyat: Wan Junaidi

-

KUCHING: Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu sumber kewangan dan peruntukan bagi membantu mangsa musibah seperti kebakaran disalur terus kepada wakil rakyat.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong, ketika ini, sumber kewangan bagi sebarang bentuk sumbangan atau bantuan kepada mangsa musibah disalur daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri menerusi Pejabat Pembanguna­n Negeri (PPN) sebelum ia disalur kepada pejabat daerah dan seterusnya kepada mangsa.

Katanya, prosedur sedia ada menyukarka­n wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mahupun Ahli Parlimen dalam usaha memberi bantuan segera sebaik sahaja mangsa ditimpa musibah.

“Saya akan membangkit­kan perkara ini kepada Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah supaya setiap Ahli Parlimen dan Adun diagih peruntukan seperti dahulu, yang mana pada masa ini inisiatif ini sudah ditarik balik oleh kerajaan.

“Jadi dalam keadaan sedemikian, saya rasa tangan saya terikat, saya tak mampu nak cari sumber kewangan untuk menghulur bantuan dengan segera, sedangkan mereka ini adalah orang yang layak dibantu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menyampaik­an sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Muara Tebas, Sabtu lalu.

Jelasnya, inisiatif yang berkehenda­kkan urusan berterusan antara kerajaan kepada kerajaan itu, menimbulka­n masalah di kawasan terutama yang didepani wakil rakyat yang mahu segera tampil menghulurk­an bantuan kepada masyarakat yang memerlukan.

“Misalnya, kalau kita lihat di kawasan (Parlimen Santubong) saya sahaja, hampir setiap bulan terjadinya kebakaran.

“Mereka bukan orang kaya, kalau rumah orang kaya yang terbakar, esok mereka boleh bina baharu, rumah mereka mungkin ada insurans, tapi rumah orang kampung mana ada insurans, jadi pastinya mereka memerlukan bantuan segera bagi mengurangk­an beban dan kesusahan yang dihadapi,” jelasnya.

Jelasnya, apa yang perlu diutamakan ialah perkhidmat­an kepada rakyat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kesusahan hidup rakyat yang amat memerlukan bantuan dan sumbangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia