Utusan Borneo (Sabah)

Bekalan air Cinta Mata alami gangguan

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Bekalan air dari Loji Rawatan Air Cinta Mata menghadapi gangguan semenjak kira-kira jam 1 pagi Selasa, namun dilaporkan kembali normal pada jam 9 pagi.

Gangguan itu dipercayai berlaku berikutan hujan lebat yang mengakibat­kan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah ini termasuk Kg Pasir Putih semenjak awal pagi lagi.

Jurutera Air Bahagian Tawau Ishar Hamka Ismail berkata bekalan itu dipulihkan secara berperingk­at-peringkat berdasarka­n laporan daripada penyelia loji rawatan air terbabit.

“Kita mengambil masa untuk mengatasi masalah bekalan di kawasan kritikal seperti perumahan di sepanjang Jalan Utara dan Jalan Kuhara (Taman Semarak),” katanya.

Terdahulu, seorang pemilik syarikat kontraktor, lelaki, 74, dikenakan kompaun sebanyak RM25,000, pada Isnin kerana gagal membuat penyambung­an air secara sah untuk menjalanka­n operasi binaan.

Ishar berkata sepasukan Unit Penguatkua­sa Jabatan Air Tawau (JAT) menerusi Ops Kesan mengesan kesalahan itu di sebuah tapak pembinaan di Taman Sejati Batu 5 Jalan Kuhara.

“Kita mendapati tapak pembinaan itu mengambil air menyalahi undang-undang dengan cara menggunaka­n meter air yang tidak berdaftar,” katanya.

Beliau berkata dua pegawai JAT sudah digerakkan ke tapak itu pada jam 2.15 petang Isnin untuk melaksanak­an operasi pemotongan bekalan.

“Semua pengguna diminta mematuhi undang-undang seperti di dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berhadapan denda berat jika didapati melakukan kesalahan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berlakunya kes-kes kecurian, pembaziran atau kebocoran air diminta melaporkan segera ke talian JAT di 0195354600.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia