Utusan Borneo (Sabah)

Warga emas maut Motosikal terbabas

-

BAU: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang­nya terbabas lalu merempuh penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 1 Jalan Sebuku, di sini semalam.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik Sarawak DSP Bingkok John, kejadian dipercayai berlaku jam 9.30 pagi.

Mangsa, Liew Man Nyan, 64, dikatakan menunggang berseorang­an dalam perjalanan menuju ke Jalan Sebuku dari pekan Bau.

Ketika melalui jalan berselekoh, motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh penghadang jalan.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang tinggal di Taman Mutiara di sini, cedera parah di bahagian kepala.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian.

Menurut Bingkok, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk tindakan lanjut.

Setakat ini siasatan masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Asajaya, pada Isnin.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Salleh Ismawi, 51, dikatakan menunggang motosikal sebelum berlanggar dengan sebuah Toyota Vios berhampira­n Kampung Semera, Kota Samarahan.

Sumber berkata, akibat perlanggar­an itu, mangsa diheret kira-kira 200 meter.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan setakat berita ini ditulis, mangsa masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Umum Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia