Kemas berjaya transformasi masyarakat Parlimen Silam
JABATAN Kemajuan Masyarakat (Kemas) dilihat telah berjaya mewujudkan transformasi dalam masyarakat luar bandar setelah lima dekad kewujudan, terutamanya di kawasan Parlimen Silam.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Haji Datu Nasrun Haji Datu Mansur memuji komitmen setiap warga Kemas di Parlimen Silam dalam merencana program untuk kepentingan masyarakat luar bandar, ke arah pembangunan fizikal modal insan yang lebih berkualiti.
Beliau berkata bermula daripada janin lagi hinggalah ke liang lahat, Kemas telah memainkan peranannya melalui program-program yang dianjur untuk memberi bimbingan kepada masyarakat terutamanya kanak-kanak tabika/taska yang mendapat pendidikan awal daripada jabatan itu.
“Berbicara soal pembangunan luar bandar dan pembangunan modal insan, memang tidak dapat dinafikan Kemas telah memberi sumbangan yang besar dan dekat di hati masyarakat. Oleh demikian, setiap kakitangan Kemas perlu menghayati semangat kerjasama bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Nasrun yang juga Ahli Parlimen Silam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Semarak Kasih Aidilfitri yang telah menghimpunkan lebih 300 warga Kemas Parlimen Silam, terdiri daripada kakitangan Kemas, Pembantu Pemaju Masyarakat serta pengerusipengerusi Tabika/Taska Kemas Parlimen Silam.
Majlis itu dianjurkan bersempena Hari Raya Aidilfitri 2017 bertempat di Dewan Pengkalan Marin, Lahad Datu.
Mengulas majlis itu, Nasrun memuji usaha Kemas Parlimen Silam terutamanya Pegawai Kemas Daerah Mohd Tahir Abdul Rahman yang sentiasa aktif menganjurkan program yang dapat mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain.