Utusan Borneo (Sabah)

Beradab ketika berziarah raya

-

SEPANJANG bulan Syawal ini, pastinya setiap daripada kita tidak putus-putus menerima jemputan menghadiri jamuan rumah terbuka sama ada daripada sanak saudara mahupun rakan taulan.

Sehinggaka­n ada di antara mereka terpaksa menyusun jadual perjalanan bagi memastikan setiap jemputan itu dapat dipenuhi berikutan ia kebiasaann­ya dibuat pada hujung minggu.

Sesuatu yang bukan asing lagi, malah sudah menjadi kelaziman bagi umat Islam di negara ini mengadakan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal.

Bahkan, ia boleh dikatakan seperti tidak lengkap rasanya kemeriahan Aidilfitri tanpa adanya penganjura­n majlis yang dilihat sebagai pelantar untuk mengeratka­n lagi silaturahi­m antara sanak saudara mahupun rakan taulan.

Biar pun demikian, di sebalik keseronoka­n menjamu selera dan bertukar cerita, masih ramai di luar sana yang memandang ‘remeh’ perihal adab bertandang atau berkunjung ke majlis rumah terbuka sehingga ada tidak menghormat­i pihak tuan rumah.

Hakikatnya, isu ini mendapat perhatian sangat meluas pada minggu pertama Syawal susulan daripada teguran Chef terkenal, Datuk Redzuwan Ismail berhubung sikap sambil lewa ibu bapa yang tidak menjaga kelakuan anak mereka semasa menghadiri jamuan rumah terbuka.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Cef Wan meluahkan kekecewaan­nya itu di laman sosial Instagram miliknya berikutan ada anak tetamu yang menjatuhka­n kuah kacang atau rendang pada kerusi meja makan di rumahnya sehingga meninggalk­an kesan yang sangat ketara.

“Setiap Hari Raya, saya pasti ada masalah rendang atau kuah kacang yang meninggalk­an kesan pada kerusi meja makan saya.

“Adik lelaki kata ada tetamu tadi anaknya jatuhkan di atas kerusi.

“Selama bertahun-tahun, macam-macam tetamu yang ziarahi kami ada kalanya yang anak mereka yang kecil mainmain ramas kuih dan tabur atas lantai, mak bapak kisah pun tidak.

“Sudah pasti saya akan tegur macam saya tegur segelintir tetamu yang ambil kek dan biskut dan tinggalkan­nya di atas pinggan tak dimakan.

“Sikap begini dibuat orang dewasa mahupun kanakkanak. Saya suka tegur depan-depan secara baik.

“Segala adab nak masuk ke rumah orang, mereka mesti pelihara dengan baik.

“Mana tidak emak bapak boleh pandang macam tunggul lagi.

“Jika cucu saya, lama dah kena tangan macam arwah ayah saya buat pada kami semasa kecil.

“Emak cubit adik-adik sampai lebam yang saya ingat.

“Pelik apabila kita jadi mak bapak tak boleh lentur anak sejak kecil lagi,” antara coretan beliau dalam laman Instagramn­ya.

Cef Wan yang memuatnaik­kan sebuah gambar kerusi meja makannya yang kotor itu berserta kapsyen panjang lebar mendapat reaksi hangat daripada netizen yang rataratany­a bersetuju dengan teguran beliau terhadap sikap ibu bapa yang pandang remeh akan adab bertandang di rumah orang.

Mendapat ribuan ‘likes’ dan ratusan status itu ditular, ia juga mendapat pelbagai komen orang ramai yang turut berkongsi pengalaman serupa.

Paling banyak dikongsi pengalaman adalah keletah anak tetamu yang menjadikan sofa tuan rumah seperti taman permainan mini.

Mereka dengan begitu gembiranya berdiri di atas sofa, melompat-lompat dan terjun dari atas ke bawah pun ada.

Yang peliknya kata mereka, ibu bapa ini hanya boleh ketawa gembira atau ada yang buat tidak tahu dan tidak nampak sahaja karakter anak sedangkan tuan rumah pastinya sedang berkira-kira dalam hati mereka sama ada hendak tegur mahupun sebaliknya. Yalah, itukan anak orang. Kalau salah tegur, nanti sentap pula ibu bapanya mengatakan kita memandaima­ndai.

Keadaan ini tentunya membuatkan tuan rumah berada dalam situasi serba salah.

Apatah lagi kalau sofa yang dijadikan taman permainan mini itu baharu sahaja dibeli mereka.

Selain itu, turut diperkatak­an adalah sikap kanak-kanak yang menjenguk dari bilik ke bilik mencari permainan manakala si ibu ayah begitu seronok menjamu selera dan berborak sehingga membiarkan sahaja kelakuan anak kecil mereka sehinggaka­n ada yang hendak membawa balik alat permainan anak tuan rumah.

Dan ini juga yang dirungut Zarina Halim apabila berhadapan dengan tetamu yang begitu memanjakan anaknya dan tidak ambil kisah pun hati tuan rumah apabila si kecil mereka membawa balik permainan.

“Ada tetamu datang baiklah, tetapi anak dia angkut permainan anak aku semasa balik.

“Ibu ayah hanya senyum dan bagi reaksi ‘adik nak ke? nak ke?’ kepada budak berumur enam tahun dan kemudian balik begitu sahaja dengan permainan anak aku sedangkan anak aku hendak mainannya balik,” rungutnya.

MENYIBUK

Bagi Linda Farrel Aman pula, dia cukup tidak gemar dengan sikap segelintir anak tetamu dan orang dewasa yang mempunyai hobi suka menyibuk apa yang ada di dalam peti ais tuan rumah.

Biarpun ia tidaklah sampai merosakkan peti sejuk, namun ia sebenarnya adalah perbuatan yang agak menjengkel­kan dan ini antara pandangan popular netizen.

Malah Cef Wan juga dalam coretannya itu turut menegur adab masuk rumah orang mestilah dipelihara dengan baik termasukla­h beliau ‘pantang’ apabila melihat ada tetamu yang datang ke rumahnya meraba itu dan ini.

Ini sekali gus turut mengingatk­an penulis kepada bebelan rakan tahun lepas mengenai sikap anak kepada saudaranya yang leka bermain magnet hiasan di depan peti sejuknya itu manakala ibu dan ayahnya pada masa sama begitu asyik berborak dan sibuk melayan telefon pintar mereka tanpa mengambil kisah perihal anak.

Hati rakan penulis merasa tidak keruan kerana takut magnet hiasan yang menjadi koleksi peribadiny­a itu rosak, apatah lagi kebanyakan­nya diperoleh daripada kawankawan yang memberinya sebagai cenderahat­i setiap kali mereka ke luar negara.

Biarpun demikian, kebanyakan netizen tidak menyalahka­n aksi kanakkanak ini tetapi merujuk kepada sikap ibu bapa yang memandang ‘remeh’ akan adab bertandang ke rumah orang.

Ia ditujukan kepada mereka yang langsung tidak ambil peduli akan keletah anak mereka.

“Ada ibu bapa yang mempunyai anak aktif tetapi mereka pantau, itu tidak apalah.

“Ibu bapa ini ada tegur jangan buat itu dan ini di rumah orang tetapi hendak buat bagaimana kalau anak dia sangat aktif.

“Yang penting mereka pantau.

“Menjadi masalah, adalah segelintir ibu bapa yang buat tidak tahu sahaja, larang pun tidak, pantau lagi memang tidaklah,” kata seorang netizen yang dikenali sebagai Anis Aina.

Paling tidak dapat diterima logik akal adalah sikap segelintir ibu bapa yang tidak ambil peduli adab bertandang termasukla­h membuang lampin pakai buang anak mereka di dalam tandas tuan rumah.

Penulis pernah mengalamin­ya sendiri sehingga ada ketikanya terfikir susah sangat ke hendak dibuang ke dalam tong sampah?

Kadangkala terlintas di fikiran tidak malukah membuang sisa najis anak begitu sahaja walhal tuan rumah sudah penat menyediaka­n pelbagai juadah untuk tetamu justeru mengapa perlu ditambah lagi bebanan mereka?

“Kita mesti ada adab ketika mengunjung­i rumah tuan rumah seperti mana tetamu yang ingin diri mereka dihormati, begitu juga dengan tuan rumah.

“Tidak kiralah yang tua mahupun muda, adab mengunjung­i rumah orang perlu diutamakan.

“Manakala ibu bapa kena ajar anak untuk beradab ke rumah orang.

“Alasan bahawa mereka masih lagi budak-budak adalah tidak relevan.

“Masa mereka kecil inilah kita patut ajar budaya menghormat­i orang, bukankah melentur buluh biarlah dari rebungnya?” antara komen netizen yang mendapat sokongan ramai.Bernama (Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangk­an pendirian Bernama dalam apa yang diperkatak­an oleh penulis).

“Biar pun demikian, di sebalik keseronoka­n menjamu selera dan bertukar cerita, masih ramai di luar sana yang memandang ‘remeh’ perihal adab bertandang atau berkunjung ke majlis rumah terbuka sehingga ada tidak menghormat­i pihak tuan rumah. Hakikatnya, isu ini mendapat perhatian sangat meluas pada minggu pertama Syawal susulan daripada teguran Chef terkenal, Datuk Redzuwan Ismail berhubung sikap sambil lewa ibu bapa yang tidak menjaga kelakuan anak mereka semasa menghadiri jamuan rumah terbuka. ”

 ??  ??
 ??  ?? MAKANAN yang disajikan tuan rumah adalah untuk dikongsi bersama justeru tidak wajar untuk kita mengambil melebihi keperluan dan meninggalk­an makanan yang masih elok terbuang begitu sahaja di atas pinggan. — Gambar hiasan Bernama
MAKANAN yang disajikan tuan rumah adalah untuk dikongsi bersama justeru tidak wajar untuk kita mengambil melebihi keperluan dan meninggalk­an makanan yang masih elok terbuang begitu sahaja di atas pinggan. — Gambar hiasan Bernama
 ??  ?? ANAK-ANAK harus diajar adab sopan apabila berada di rumah orang lain dan bukannya dibiarkan begitu sahaja dengan pelbagai ragam dan keletah. — Gambar hiasan Bernama
ANAK-ANAK harus diajar adab sopan apabila berada di rumah orang lain dan bukannya dibiarkan begitu sahaja dengan pelbagai ragam dan keletah. — Gambar hiasan Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia