Utusan Borneo (Sabah)

Sarawak di landasan betul dalam aspek pendidikan, kata Abang Johari

-

MUKAH: Sarawak di landasan betul dalam aspek pendidikan dengan penubuhan kementeria­n pendidikan di peringkat negeri.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, perkara itu bakal memperkasa sistem pendidikan negeri dengan kerjasama kementeria­n pendidikan pusat sekali gus negeri ini tidak tertinggal dalam banyak perkara terutama pendidikan.

“Kita tidak dapat tunggu peruntukan lama-lama daripada kerajaan pusat, kita buat dahulu dengan duit kita dan Kuala Lumpur akan bayar kemudian,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak di sini petang Isnin.

Beliau menjelaska­n, ia adalah kos bagi membaiki serta menyelengg­ara sekolah serta keperluan-keperluan berkaitan pendidikan yang masih ketinggala­n terutama di kawasan pedalaman negeri ini.

Mengenai pendirian Sarawak yang turut mementingk­an bahasa Inggeris di samping bahasa Melayu, katanya ia adalah langkah wajar dan berkesinam­bungan dengan institusi pengajian tinggi yang terdapat di negeri ini.

“Sebab, Sarawak dah banyak melabur dalam institusi pengajian peringkat antarabang­sa dan anak-anak kita akan melanjutka­n pengajian di institusi ini yang kebanyakan­nya menggunaka­n bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar,” jelasnya.

Lagipun, bahasa Inggeris katanya adalah salah satu daripada bahasa teknologi yang diperlukan untuk memajukan diri.

“Semua teknologi baharu dipelajari dalam bahasa Inggeris dan kita perlu belajar ini untuk maju,” tambahnya.

Pada masa sama, beliau berjanji membawa kualiti pendidikan negeri ini ke satu tahap baharu dengan penubuhan kementeria­n serta barisan pemimpinny­a.

Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Amar Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidik­an Teknologi Dato Sri Micheal Manyin Jawong, Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n KanakKanak Datuk Fatimah Abdullah serta dif-dif kenamaan lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia