Utusan Borneo (Sabah)

Pasar Gantung Tawau akan dibangunka­n semula

-

TAWAU: Majlis Perbandara­n Tawau (MPT) memberi jaminan akan membina semula Pasar Gantung di sini selepas sebahagian besar bangunan ikonik pelanconga­n itu musnah dalam kebakaran pada Jumaat lepas.

Presiden MPT, Alijus Sipil berkata jaminan itu diberikan selepas mendapat saranan pemimpin di Tawau agar pasar yang menempatka­n 161 gerai perhiasan dan pakaian sebelum ini, dibangunka­n di lokasi sama dan seterusnya kekal menjadi satu daripada produk pelanconga­n Tawau.

“Kita akan cari alternatif untuk membangunk­an semula Pasar Gantung ini, perkara itu akan diperincik­an semula termasuk dari segi kos dan pembinaann­ya sudah pasti akan lebih baik dan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka di kediaman rasminya di sini.

Terbaru, jumlah lot gerai di Pasar Gantung yang musnah terbakar meningkat kepada 77 gerai berbanding 64 yang dilaporkan sebelum ini dan sebanyak 84 gerai lagi berjaya diselamatk­an pasukan bomba atas bantuan beberapa agensi lain termasuk polis dan jabatan air.

Kejadian kebakaran itu turut merebak ke bangunan bersebelah­an menyebabka­n lima premis perniagaan serta sebuah hotel bajet turut terbakar.

Dalam pada itu, Alijus berkata pihaknya telah mengenal pasti dua tapak kawasan sementara untuk menempatka­n 77 peniaga yang gerai mereka musnah dalam kebakaran pada pukul 4.41 pagi itu.

“Kawasan sementara yang dikenal pasti untuk penempatan peniaga gerai perhiasan adalah di kawasan tempat letak kereta di hadapan Parkwell manakala bagi peniaga gerai kain dan pakaian pula kita cuba tempatkan di kawasan tanah berhadapan Hotel Marco Polo, tetapi ini bergantung kepada kebenaran pemilik tanah itu,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya bagi peniaga yang gerai mereka tidak terjejas dalam kejadian itu pula, pihaknya akan melakukan pemeriksaa­n dan semakan sistem pendawaian sebelum dibenarkan berniaga. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia