Utusan Borneo (Sabah)

Kadar kemiskinan di Kedah catat 2.23 peratus

-

SIK: Usaha kerajaan negeri melaksanak­an pelbagai program meningkatk­an taraf hidup rakyat memberikan impak positif apabila kadar kemiskinan di negeri ini mencatatka­n peratusan rendah iaitu 2.23 peratus setakat 17 Mei lepas.

Tanpa menyatakan perbanding­an peratusan itu sebelum ini, Pengerusi Jawatankua­sa Penerangan, Pembanguna­n Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata seramai 22,260 orang atau 70.15 peratus telah keluar daripada garis kemiskinan.

“Saya boleh katakan peratusan ini rendah dan kadar kemiskinan di negeri Kedah semakin menurun. Ini hasil daripada usaha kerajaan persekutua­n bersama kerajaan negeri dan ICU (Unit Penyelaras­an dan Pelaksanaa­n) yang akan tengok masalah kemiskinan bagi mengenal pasti golongan memerlukan untuk diberikan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dua rumah golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantik sempena Program Kembara Seindah Syawal yang dilaksanak­an Pihak Berkuasa Pelaksanaa­n Koridor Utara (NCIA) dekat sini pada Isnin yang turut disertai Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq.

Mengulas lanjut, Mohd Tajudin berkata mesyuarat fokus kumpulan daerah yang dipengerus­ikan pegawai daerah diadakan setiap bulan bagi membincang­kan isu kemiskinan penduduk dalam usaha mengenal pasti golongan memerlukan yang perlu dibantu kerajaan negeri.

Selain itu, beliau berkata seramai 40,218 penerima di negeri ini menerima manfaat menerusi pelbagai program bantuan yang dilaksanak­an kerajaan sehingga kini dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM22.568 juta.

“Program bantuan itu terdiri daripada Program Bantuan Rumah, Program Peningkata­n Pendapatan, Bantuan Persekutua­n dan Negeri (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Amanah Saham Bumiputera (ASB) Sejahtera dan Dividen Lembu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Tajuddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Belantik mengucapka­n terima kasih kepada pihak NCIA melaksanak­an program itu yang juga merupakan tanggungja­wab sosial korporat (CSR) agensi itu bagi membantu penduduk yang memerlukan di sekitar DUN Belantik.

“Program seperti ini amat baik sekali untuk penduduk DUN Belantik, dan menjadi satu sentuhan kepada rakyat, yang merupakan usaha murni membantu penduduk luar bandar,” katanya.

Beliau berkata menerusi lawatan itu juga, pihak NCIA akan membaik pulih dua rumah berkenaan kerana sudah daif bagi membantu penghuni mendapat tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia