Utusan Borneo (Sabah)

Kes kebakaran keempat di Tawau pada bulan Julai

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Satu lagi kes kebakaran dilaporkan berlaku di Tawau, namun kali ini melibatkan sebuah rumah kosong di kawasan SMK Kinabutan, Batu 5 Jalan Apas, di sini pada Selasa.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Faisal Ahmad berkata kebakaran itu melibatkan rumah kosong yang dikhususka­n untuk kediaman pengetua.

“Rumah berkeluasa­n 60x40 kaki itu kosong kerana pengetua sekolah tidak mendidiami­nya,” katanya.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 petang dan tiba di lokasi kejadian jam 2.08 petang dengan kekuatan 13 anggota, tiga jentera serta dua utiliti.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.20 petang dan bomba menamatkan operasi memadam api pada jam 2.38 petang (70 peratus rumah terbabit terbakar).

“Tidak ada sebarang kes kecederaan dilaporkan dan kita masih menjalanka­n siasatan untuk mengenalpa­sti punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian,” katanya.

Kejadian terbaharu itu menjadikan sebanyak empat kes kebakaran dilaporkan berlaku di Tawau sepanjang bulan Julai, melibatkan kemusnahan rumah dan premis perniagaan.

Pada 1 Julai, lebih 200 rumah musnah terbakar di Kg Hidayat Batu 4 Jalan Apas, kemudian pada 11 Julai sebanyak tujuh rumah terjejas di Kg Titingan Batu 2.5 Jalan Apas.

Kes kebakaran ketiga melibatkan insiden di Central Market Tawau atau lebih dikenali sebagai Pasar Gantung yang memusnahka­n 77 gerai dan enam premis bersebelah­annya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia