Utusan Borneo (Sabah)

25 peratus penduduk Sarawak hidap masalah kesihatan mental

-

KUCHING: Dianggarka­n 25 peratus daripada 2.7 juta populasi rakyat negeri ini menghadapi masalah kesihatan mental.

Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental juga Pengarah Hospital Sentosa Dr Ismail Drahman berkata, kebanyakan punca atau faktor masalah berkenaan adalah gaya hidup seseorang.

“Faktor utama adalah gaya hidup seseorang di mana ada sesetengah orang mempunyai kekuatan menghadapi cabaran dan ada sebaliknya.

“Di Sarawak, kajian terbaharu iaitu 2016 mendapati 25 peratus daripada populasi kita ada kini menghadapi masalah kesihatan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan serta taklimat kepada Menteri Kebajikan, Kesejahter­aan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Datuk Fatimah Abdullah di pejabatnya di sini, pada Jumaat.

Menurut Dr Ismail, masalah mental berlaku mengikut fasa kehidupan masing-masing iaitu kanak-kanak dan remaja, dewasa umum serta warga emas, yang mempunyai penyebabny­a tersendiri.

“Sebagai contoh bagi kanak-kanak atau remaja masalah ini mungkin berlaku disebabkan kecenderun­gan atau dorongan dibuli atau sebagainya.

“Sementara dewasa mungkin disebabkan kerja, hubungan dengan yang lain, komunikasi atau mereka tidak bekerja,” katanya.

Beliau menegaskan, daripada peratusan kajian dilakukan masalah kesihatan mental terutama kemurungan kebanyakka­n berlaku dalam kalangan wanita sementara kes bunuh diri berlaku dalam kalangan lelaki.

Dr Ismail berkata, sementara seluruh negara hasil kajian Kementeria­n Kesihatan Malaysia pada 2016 mendapati 30 peratus daripada rakyatnya mempunyai masalah kesihatan mental berbanding 12 peratus pada 2010.

“Perkara seperti ini kita mahu kurangkan agar kita boleh membantu masyarakat kita supaya lebih tahan lasak dalam menghadapi masalah hidup.

“Jika kita lihat, apabila ada sesuatu masalah timbul ada dikalangan individu mulai murung, tidak dapat menghadapi cabaran hidup dan ada sesetengah ingin membunuh diri.

“Dengan itu itu kita mahu memberi cara kita sendiri supaya mereka boleh menghadapi cabaran dari segala aspek kehidupan, menjadi tahan lasak dalam menghadapi perkara dalam hidup,” kata Dr Ismail.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia