Utusan Borneo (Sabah)

Perkhidmat­an kesihatan percuma kepada 3,000 golongan asnaf

-

JOHOR BAHRU: Perbadanan Islam Johor (PIJ) dengan kerjasama Kencana Healthcare Sdn Bhd (KHSB) akan membangunk­an Hospital Pakar Kencana di atas tanah wakaf seluas 5.5 ekar milik Majlis Agama Islama Negeri Johor (MAINJ) dengan nilai pembanguna­n berjumlah RM600 juta.

Hospital Pakar Kencana yang terletak di Jalan Tahana, Bandar Baru Uda itu juga akan menyediaka­n perkhidmat­an rawatan percuma kepada lebih 3,000 golongan asnaf yang dibiayai melalui Tabung Wakaf Rakyat Johor (TWRJ) dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini merupakan pusat perubatan pertama di dalam negara yang dibina secara usahasama pintar di atas tanah wakaf dalam membantu meningkatk­an kemudahan dan perkhidmat­an kesihatan kepada masyarakat.

“Hospital Pakar Kencana ini terbuka kepada semua masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa dan bagi golongan asnaf pula, mereka layak mendapatka­n rawatan secara percuma terhadap semua jenis perkhidmat­an yang ditawarkan oleh hospital ini melalui insurans berkelompo­k.

“KHSB bertanggun­gjawab membangunk­an projek itu dengan pengendali berpengala­man, PIJ pula telah dilantik oleh MAINJ sebagai Nazir bagi pembanguna­n atas tanah wakaf itu dan PIJ Holdings Sdn Bhd dilantik sebagai pengawal selia pembanguna­n,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Perubatan Pakar dan Majlis Jamuan Aidilfitri PIJ dan kumpulan di sini, pada Sabtu.

Mohamed Khaled berkata, kerjasama ini merupakan salah satu usaha murni yang mengurangk­an kebergantu­ngan kepada kerajaan apabila masyarakat­boleh memainkan peranan dalam membangunk­an negeri.

“Hospital ini juga akan menawarkan caj perkhidmat­an yang lebih murah berbanding hospital swasta yang lain sekaligus mengurangk­an beban yang ditanggung oleh hospitalho­spital kerajaan,” jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada manamana pihak dalam membantu meningkatk­an kesejahter­aan ekonomi dan menambahba­ik keperluan masyarakat yang lebih lestari selari dengan keperluan masyarakat islam pada hari ini.

Hospital Pakar Kencana ini akan menyediaka­n kemudahan 280 katil pesakit, 60 klinik pakar, 120 bilik penginapan, kemudahan pakar dan 650 ruang parkir awam.

Ia juga dilengkapi 32 unit kedai komersial, dewan dan sebuah hotel mesra muslim bertaraf 4 bintang dengan kemudahan 153 bilik. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia