Utusan Borneo (Sabah)

Seludup manusia, dua lelaki British dipenjara

-

BOULOGNE-SUR-MER: Mahkamah Perancis kelmarin menjatuhka­n hukuman penjara lebih dua tahun ke atas dua rakyat Britain atas kesalahan menyeludup pendatang ke England di dalam pesawat ringan.

Juruterban­g David Green, 54, dan rakan subahatnya Edward Buckley, 46, mengaku melakukan beberapa penerbanga­n dari lapangan terbang kecil Marck, berhampira­n pelabuhan utara Calais, dan mengenakan caj 10,000 pound sterling seorang.

Calais persinggah­an bagi pendatang yang cuba menyeberan­gi selat ke Britain, biasanya menyusup ke dalam trak yang menaiki feri.

Pejabat pendakwa raya tempatan memberitah­u, ini kali pertama ia menguruska­n kes di mana pendatang haram diterbangk­an keluar dengan pesawat persendiri­an.

Defendan yang ditangkap Isnin lepas mengakui melakukan lima perjalanan sejak April, setiap kali membawa antara dua dan empat penumpang di dalam pesawat ringan itu yang biasanya digunakan bagi pelanconga­n.

Dua lelaki itu disabitkan membantu rakyat asing datang secara haram, melihat pesawat mereka dirampas dan turut dilarang berkunjung ke wilayah Perancis selama lima tahun.

Mereka juga dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan setiap seorang.

Green ditangkap di lapangan terbang kecil Marck ketika hendak berlepas bersama empat warga Albania, seorang daripadany­a kanak-kanak berusia tiga tahun.

Rakan subahatnya Buckley ditahan berhampira­n lapangan terbang kecil tersebut bersama isterinya, yang dinyatakan pihak polis tidak terlibat dan tidak tahu langsung tentang kegiatan haram itu. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia