Utusan Borneo (Sabah)

Raja Muda risau ancaman penipuan di internet

-

KUALA LUMPUR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l bimbang dengan ancaman penipuan di Internet sehingga ada mangsa yang terkandas di luar negara gara-gara terpengaru­h dengannya.

Baginda bertitah, masyarakat harus berwaspada dengan tawaran lumayan dan tidak masuk akal melalui Internet sebagai umpan pihak yang mahu mengaut keuntungan mudah.

Menurut siaran media Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)padaAhad,baginda menyatakan kerisauan itu ketika menyampaik­an sumbangan zakat untuk tabung Ibnu Sabil bagi membantu golongan terkandas atau mereka yang memerlukan bantuan kecemasan di Melbourne, Australia.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs menyampaik­an sumbangan zakat berjumlah RM5,000 kepada pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne yang diwakili Konsul Jeneral Malaysia, Westmorela­nd Palon dan Konsul Muda, Muhamad Nadzri Abdullah Sani.

Menurut baginda tabung berkenaan merupakan satu daripada inisiatif MAIPs dalam membantu rakyat Malaysia yang kesusahan dan memerlukan bantuan segera untuk pulang ke tanah air dalam situasi kecemasan.

Ini kerana terdapat kes rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara kerana terpikat dengan tawaran kerja melalui Internet, tambah baginda.

Baginda menasihati mereka yang menjadi mangsa supaya tidak berdiam diri sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa terutama polis atau Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia