Utusan Borneo (Sabah)

Polis India tumpas sindiket curi minyak

-

NEW DELHI: Polis di Rajasthan telah menumpaska­n satu sindiket jenayah yang didakwa menyeludup lebih 50 juta liter minyak mentah di dalam tangki air dari loji minyak dalam pantai terbesar di India, menurut pihak berkuasa semalam.

Kes kecurian di loji Cairn India tidak disedari selama hampir enam tahun sehingga polis di negeri gurun barat itu menangkap 25 orang minggu ini kerana terlibat dalam rangkaian penyeludup­an sofistikat­ed itu.

Media tempatan melaporkan, minyak bernilai AS$7.75 juta mungkin telah dicuri dari loji tersebut yang dijalankan subsidiari gergasi perlombong­an British Vedanta Resources.

Lebih 75 suspek, kebanyakan­nya pemandu dan kontraktor yang bekerja di loji tersebut, masih diburu berkaitan kes berkenaan, menurut ketua polis daerah Gangandeep Singla.

“Syarikat mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dan mengadu kepada kami.

“Semasa siasatan, kami mendapati kejadian ini dilakukan oleh sindiket terancang,” kata beliau.

Beliau berkata, para pemandu dibenarkan membawa air, produk sampingan dalam penerokaan minyak, dari tapak penggalian untuk dibuang tetapi sebahagian tangki tersebut sebaliknya diisi dengan minyak mentah.

Para pemandu mematikan alat GPS mereka untuk mengelak dikesan dan dijejaki.

Lebih 30 trak telah dirampas, dan jumlahnya mungkin meningkat, kata polis.

Minyak mentah itu kemudian dijual kepada dua pemilik kilang kecil berhampira­n, yang menyimpan minyak tersebut dalam tangki bawah tanah sebelum menjualnya kepada pelanggan di seluruh India.

Minyak yang dicuri itu digunakan dalam pembinaan jalan raya dan pengeluara­n diesel, tambah polis.

Pada Februari lalu, pihak polis di Uttar Pradesh menahan hampir 12 orang yang dituduh mencuri petroleum bernilai hampir AS$15.5 juta dari saluran paip penapisan bertekanan tinggi di negeri utara itu.

Sindiket tersebut telah membeli tanah bersebelah­an loji penapisan itu dan menggali terowong untuk mengaut minyak dari saluran paip milik syarikat kendalian kerajaan Hindustan Petroleum.

India, dengan populasi lebih sebilion, mengimport hampir 82 peratus minyak mentah untuk memenuhi keperluan tenaganya. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia