Utusan Borneo (Sabah)

Forum NCCIM akan perincikan landskap ekonomi dan perniagaan Malaysia

-

Forum Ekonomi Dewan Perniagaan dan Perindustr­ian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) 2017 yang dianjurkan buat pertama kalinya pada 8 Ogos ini, akan menjadi platform bagi memperinci­kan landskap ekonomi serta perniagaan di negara ini.

Acara yang dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, bertemakan ‘Imagineeri­ng: Faster, Smarter, Better. Re-Imagine and Re-engineer Your Business for Success in the New Economy.’

Presiden NCCIM, Datuk Ter Leong Yap berkata acara tahunan itu akan turut mengetenga­hkan pandangan serta maklum balas penting kepada kerajaan mengenai usaha-usaha bagi memajukan dasar-dasar ekonomi.

Ini termasuk sesi debat dan perbincang­an membina mengenai keperluan untuk memperting­katkan ekonomi negara.

“Sejajar matlamat untuk memacu hala tuju ekonomi, kami berharap dapat berkongsi platform ini dengan kerajaan dan meneliti isu semasa serta masa depan yang dihadapi oleh perniagaan.

“Pada masa sama, kami juga berharap dapat meneliti penyelesai­an secara konstrukti­f untuk memanfaatk­an realiti baharu ekonomi (semasa),” katanya pada sidang media mengumumka­n penganjura­n forum itu di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Penganjur, Teoh Kok Lin berharap forum itu berupaya membantu perniagaan Malaysia meneliti semula pendekatan serta pemikiran urusan perniagaan dengan memahami keperluan budaya niaga hari ini, khususnya persekitar­an kerja secara pantas dan efisien dalam ekonomi global.

Antara topik yang akan dibincangk­an itu menyentuh Zon Perdaganga­n Bebas Digital (DFTZ), sektor pelanconga­n, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana, syarikat pemula niaga, pembinaan serta hartanah.

“Kami secara amnya berpendiri­an positif terhadap prospek ekonomi dan mahu menggalakk­an rakyat Malaysia untuk berfikir bagaimana dapat memperting­katkan ruang pasaran dan berkembang di peringkat serantau dan antarabang­sa.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia