Utusan Borneo (Sabah)

Boros antara punca majoriti pencarum KWSP miskin pada usia 61-75 tahun

-

KUCHING: Sikap boros antara punca utama majoriti pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hidup dalam kemiskinan pada usia 61 tahun hingga 75 tahun.

Penasihat Khidmat Nasihat Persaraan KWSP Kuching Ronney Khairuddin berkata, purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah sehingga umur 75 tahun.

Jangka hidup yang panjang ini, katanya, boleh memberikan masalah kepada pencarum kerana skim pengeluara­n caruman paling popular adalah pada usia 55 tahun.

Ini bermakna, katanya, pencarum boleh mengeluark­an semua simpanan pada usia 55 tahun, justeru persoalann­ya adakah simpanan ini mencukupi sehingga usia 75 tahun?

“Realitinya, simpanan KWSP hanya mampu bertahan selama tiga hingga lima tahun dan lebih teruk ia boleh dihabiskan dalam tempoh hanya sebulan jika bersikap boros.

“Situasi ini membimbang­kan KWSP kerana matlamat KWSP adalah untuk memastikan masa depan yang terjamin selepas persaraan,” katanya pada Bicara Persaraan Bersama KWSP di Pusat Beli-Belah The Spring di sini, pada Sabtu.

Tambah Ronney, kajian juga mendapati 64 peratus daripada pencarum yang berusia 54 tahun pada tahun 2016 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

Jumlah ini, katanya, tidak mencukupi untuk menampung hidup pencarum pada hari tua jika mengambil kira usia hidup sehingga 75 tahun.

Sebab itu, katanya, KWSP menggalakk­an caruman dibuat sehingga usia 75 tahun meskipun selepas persaraan wajib dengan mencarum sendiri atau menerusi majikan.

“Sebenarnya, pencarum juga tidak perlu membuat pengeluara­n sekali gus ke atas caruman mereka dan boleh memilih untuk membuat secara berkala ataupun bulanan.

“Pencarum juga boleh memilih untuk mengeluark­an sebahagian sahaja daripada caruman mereka dengan baki caruman masih layak untuk menikmati bayaran balik dividen,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi membantu pencarum merancang persaraan dengan lebih baik, KWSP menurut Ronney telah mewujudkan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) pada 1 Julai 2014.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia