Utusan Borneo (Sabah)

PDRM sasar sifar rasuah

-

KUALA LUMPUR: Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menyasarka­n untuk mencapai status sifar rasuah, pada Isnin melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Di ibu negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengetuai lafaz ikrar IBR bersama lebih 200 anggota polis pada majlis yang berlangsun­g di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Sultan Yahya Petra di sini.

Hadir sama pada acara itu ialah Ketua Pesuruhjay­a, Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementeria­n Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Selesai pembacaan lafaz ikrar itu, Ahmad Zahid menyaksika­n majlis menandatan­gani dokumen IBR antara Abdul Khalid dan Dzulkifli.

Pada sidang akhbar kemudian, Abdul Khalid berkata IBR merupakan komitmen PDRM untuk menangani amalan rasuah dalam kalangan anggota polis dan tindakan akan dikenakan terhadap anggota yang terlibat dalam gejala itu.

“PDRM meletakkan sasaran sifar rasuah dalam kalangan anggotanya dan pelbagai tindakan akan dibuat bagi mencapai objektif ini. Saya mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan anggota PDRM, justeru usaha mencegah rasuah harus bermula daripada keikhlasan diri anggota polis itu sendiri untuk menolak rasuah,” katanya.

PDRM menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), katanya akan berperanan memastikan integriti setiap pegawai dan anggota PDRM mencapai tahap tertinggi dan beberapa langkah sudah dibuat oleh JIPS untuk memantau kegiatan rasuah dalam pasukan itu.

Khalid berkata IBR yang ditandatan­gani Isnin juga diadakan secara serentak di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) di seluruh negara.

PDRM ialah agensi penguatkua­saan yang pertama melaksanak­an IBR dan ia turut dilakukan secara serentak di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) di seluruh negara pada Isnin dalam membuktika­n komitmen PDRM dalam memastikan integriti pasukan berada pada tahap tertinggi, katanya.

Seramai 3,435 pegawai dan anggota polis kontinjen Sabah turut melafazkan IBR.

Timbalan Pesuruhjay­a Polis negeri Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata jumlah itu termasuk anggota dan pegawai di semua 20 ibu pejabat polis daerah di negeri ini.

“Saya berkeyakin­an bahawa IBR ini menjadi amaran, peringatan dan juga jaminan kepada golongan berkepenti­ngan dan pelanggan dan ia juga sebagai pengakuan akujanji dan komitmen untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia