Utusan Borneo (Sabah)

Miliki motosikal curi: Lelaki dipenjara dan denda

-

KOTA KINABALU: Akibat memiliki sebuah motosikal curi, seorang lelaki tempatan dikenakan penjara 15 bulan dan denda RM2,500, oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus menjatuhka­n hukuman itu terhadap Zulkeffly Adnan, selepas mengaku bersalah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntuk­kan, penjara selama tempoh lima tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Tertuduh didapati memiliki motosikal berkenaan dipercayai milik seorang lelaki, pada 25 Mei jam 9.30 pagi, di Jalan Tuaran, di sini.

Mengikut fakta kes, pada 19 Mei jam 9.05 pagi di sebuah masjid di daerah Putatan, pengadu menyedari motosikal miliknya hilang, disyaki dicuri.

Pada 26 Mei, pihak polis berjaya menangkap seorang lelaki (tertuduh) yang menunggang motosikal berkenaan.

Dalam pada itu, sekiranya tertuduh gagal membayar denda terbabit, penjara dilanjutka­n selama tempoh dua bulan.

Sementara itu, mahkamah menetapkan pada 24 Ogos untuk pengurusan kes terhadap seorang lelaki yang tidak memiliki dokumen diri, atas pertuduhan mengganggu penjawat awam menjalanka­n tugas.

Keputusan itu dilakukan terhadap Adnin Janani Nawi, 31, selepas mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Sekiranya disabitkan bersalah, penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali.

Mengikut pertuduhan, Adnin menumbuk dan menendang seorang polis, pada 19 Julai jam 1.30 petang, di Jalan Lintas, berhadapan Elken Heritage Plaza KK, di sini.

Sementara menunggu kes berkenaan selesai, tiada tawaran ikat jamin diberikan dan tertuduh diperintah­kan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Pegawai Pendakwa Insp Albert Basirin bertindak untuk pendakwaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia