Utusan Borneo (Sabah)

SMK Bangi, SRK ST Agnes muncul johan

Pertanding­an Tugu Budaya Etnik Sabah 2017

-

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, Kudat dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Agnes diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (keseluruha­n) di pertanding­an Tugu Budaya Etnik Sabah 2017 di sini malam Ahad.

Pereka Tari SMK Banggi Caroline Jubian berkata, konsep tarian mereka diambil daripada cerita rakyat kaum Rungus di Kampung Bavanggazo, Kudat iaitu ‘Tipuan Barambang’.

“Tipuan Barambang membawa maksud gelaran kepada sebuah rumah paling panjang dengan lebih daripada 100 pintu.

“Kami mengambil masa selama satu bulan untuk membuat penyelidik­an di kampung berkenaan dan mula berlatih sejak November lepas,” katanya.

Katanya, kumpulan tariannya dianggotai oleh 18 pelajar dari tingkatan satu hingga empat dan mereka sangat komited menjalanka­n latihan dengan berlatih setiap hari bermula jam 3.30 petang dan kadang kala sehingga jam 12 tengah malam.

“Terima kasih kepada ibu bapa dan pihak sekolah kerana memberikan kerjasama serta sokongan kepada kumpulan tarian ini.

“Kami tidak akan berhenti setakat ini sahaja dan kejayaan malam ini akan menjadi satu titik permulaan kami untuk mengorak langkah lebih jauh lagi,” katanya.

Selain diumumkan sebagai penerima anugerah utama, SMK Bangi turut dinobatkan sebagai johan bagi kategori Tradisi, Kreatif Tradisi, Koreografi Terbaik serta turut membawa pulang Anugerah Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Sementara itu, ‘Tarian Alimar’ yang mengisahka­n kehidupan masyarakat Murut di Tenom membawa tuah kepada SRK St Agnes setelah tujuh tahun mencuba di pertanding­an itu.

Pereka tarinya Nico Demus Marcus berkata, akhirnya usaha guru dan pereka tari diberi pengiktira­fan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (Keseluruha­n).

“Syukur, Alhamdulil­lah setelah mendapat tempat kedua dan ketiga pada tahuntahun sebelum ini, akhirnya kami berjaya bergelar johan keseluruha­n di pertanding­an ini.

“Kami berlatih sejak Januari lepas setelah saya dan rakan pasukan membuat penyelidik­an mengenai suku Murut selama dua bulan di daerah pedalaman di Keningau dan Tenom,” jelasnya.

Nico turut mengucapka­n terima kasih kepada PIBG, pentadbira­n sekolah serta ibu bapa kepada 16 peserta yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada kumpulan berkenaan.

SRK St Agnes turut diumumkan sebagai johan Kategori Koreografi Terbaik, tempat ketiga Kategori Tradisi, johan Kategori Kreatif Tradisi serta penerima Anugerah Menteri Pelanconga­n Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Sementara itu, SKK SJK (C) James Kota Kinabalu dan Sekolah Seni Malaysia, Johor diumumkan pemenang untuk kategori ‘Like Facebook Tertinggi’, selain SK Ulu Lubai Limbang, SMK Medamit Limbang yang memenangi kategori Visual Terbaik.

Pemenang bagi Kostum Terbaik adalah SK Kiawayan Tambunan dan SMK Medamit Limbang manakala Susunan Muzik Terbaik dimenangi oleh SK Kiawayan Tambunan serta SMK Medamit Limbang.

Manakala, Jackey Stanley dari SK Kahaba Keningau dan Al Farhan Jeffrin dari SMK Lohan Ranau dinobatkan sebagai Penari Lelaki Terbaik dan Nurmizan Armi dari SK Sri Gaya Kota KInabalu serta Elysha Chin dari SM All Saints Kota Kinabalu diumumkan sebagai penerima Anugerah Penari Perempuan Terbaik.

Penerima anugerah Sekolah Harapan adalah SK Stella Maris Tanjung Aru Kota Kinabalu dan SMK Lohan Ranau, SK Kiawayan Tambunan diumumkan pula sebagai johan Kategori Tradisi sekolah rendah.

SK Ulu Lubai Limbang dan SMK Nambayan Tambunan merupakan penerima anugerah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan SK Kiawayan Tambunan, SMK Medamit Limbang diumumkan sebagai penerima anugerah Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Bagi kategori Antarabang­sa, Russia membolot lima hadiah utama iaitu Penari Perempuan Terbaik, Kostum Terbaik, Koreografi Terbaik, selain johan keseluruha­n.

Dalam pada itu, pasukan Filipina menerima dua anugerah iaitu, Penari Lelaki Terbaik dan naib johan manakala Indonesia menerima dua anugerah iaitu Susunan Muzik Terbaik dan tempat ketiga.

Acara penutup Pertanding­an Tugu Budaya Etnik Sabah 2017 dirasmikan oleh Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Tan Sri Wences Angang serta Setiausaha Tetap Kementeria­n Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Jawatankua­sa Induk Tugu Budaya Etnik Sabah Kelapan, Datu Rosmadi Datu Sulai.

Seramai 656 peserta dari 14 sekolah rendah dan 15 sekolah menengah terlibat dalam menjayakan pertanding­an itu yang berlangsun­g di Pusat Kebudayaan Sabah pada 19 hingga 23 Julai. - Jabatan Penerangan.

 ??  ?? 7. PERSEMBAHA­N pasukan Filipina yang memenangi tempat kedua bagi kategori Antarabang­sa.
7. PERSEMBAHA­N pasukan Filipina yang memenangi tempat kedua bagi kategori Antarabang­sa.
 ??  ?? SK Agnes, Kota Kinabalu diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (keseluruha­n) bagi kategori sekolah rendah.
SK Agnes, Kota Kinabalu diumumkan sebagai penerima Anugerah Ketua Menteri (keseluruha­n) bagi kategori sekolah rendah.
 ??  ?? SMK Banggi penerima Anugerah Ketua Menteri (keseluruha­n) bagi kategori sekolah menengah.
SMK Banggi penerima Anugerah Ketua Menteri (keseluruha­n) bagi kategori sekolah menengah.
 ??  ?? PASUKAN Russia dinobatkan sebagai johan keseluruha­n bagi kategori Antarabang­sa.
PASUKAN Russia dinobatkan sebagai johan keseluruha­n bagi kategori Antarabang­sa.
 ??  ?? PERSEMBAHA­N memukau daripada pasukan Russia.
PERSEMBAHA­N memukau daripada pasukan Russia.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia