Utusan Borneo (Sabah)

Kertas siasatan kes tahanan lolos diserah kepada KUP

-

GEORGE TOWN: Kertas siasatan kes lapan anggota polis dan seorang nelayan yang ditahan bagi membantu siasatan kes seorang tahanan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya melarikan diri 9 Julai lepas telah diserah kepada Ketua Unit Pendakwaan (KUP) Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata kertas siasatan kes itu diserah kepada Bukit Aman minggu lepas sebelum dihantar ke KUP pada Khamis dan polis kini sedang menunggu arahan untuk tindakan selanjutny­a.

“Semua anggota polis berusia 27 hingga 59 tahun yang terlibat dalam kes itu masih digantung kerja,” katanya kepada pemberita selepas majlis lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Pada majlis itu, Roslee mengetuai 700 pegawai dan anggota IPK Pulau Pinang menyempurn­akan bacaan IBR di hadapan Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban sebelum kedua-duanya menandatan­gani ikrar itu sebagai tekad memerangi rasuah.

Roslee berkata suspek yang lolos itu dipercayai berada di negara jiran dan polis kini bekerjasam­a dengan Interpol untuk mengesanny­a.

Dalam kejadian 9 Julai lepas, tiga tahanan dibawa keluar dari lokap berpusat Bayan Baru dekat sini pada 2 pagi dengan alasan untuk dibawa ke hospital bagi mendapatka­n rawatan, namun siasatan mendapati mereka dibawa bertemu keluarga masingmasi­ng di Sungai Ara.

Seorang daripada mereka, Anuar Ayat, 43 yang merupakan tahanan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya melarikan diri ketika dikatakan bertemu dengan rakannya di Sungai Nibong selepas menemui keluargany­a di sebuah kondominiu­m di Sungai Ara. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia