Cahill dilantik kapten baharu The Blues
LONDON, England: Gary Cahill dinamakan sebagai kapten baharu kelab Chelsea oleh pengurus kelab, Antonio Conte.
Pemain pertahanan tengah itu mengetuai Chelsea untuk hampir sepanjang musim dengan kapten sebenar, John Terry gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama.
Cahill menikmati tempoh yang berjaya di Stamford Bridge sejak berpindah dari Bolton Wanderers pada 2012 dan Conte percaya beliau telah menunjukkan dirinya memiliki ciri-ciri seorang kapten pasukan.
“Saya fikir ia adalah tepat untuk mengekalkan Cahill sebagai kapten, sekiranya beliau terus bermain,” kata Conte.
“Kenapa? Kerana beliau sudah berada di Chelsea untuk beberapa tahun dan bermain banyak perlawanan selain menunjukkan karektor yang baik.”
Bagaimanapun, Conte menggesa pemain senior lain kelab untuk mengambil peranan kepimpinan yang lebih baik pada musim kedua beliau di kelab.
“Saya fikir kami juga boleh mempunyai kapten lain dalam pasukan, (Cesar) Azpilicueta, (David) Luiz juga boleh menjadi kapten di masa hadapan, begitu juga Thibaut Courtois, Cesc Fabregas,” kata beliau.
“Saya fikir setiap pemain harus meningkatkan personaliti mereka dalam bilik persalinan dan mengambil lebih banyak tanggungjawab kerana kami kehilangan pemain penting dan perlu mencari pemain baharu untuk mewujudkan asas kukuh untuk Chelsea. Ia adalah sangat penting untuk kejayaan di masa hadapan kelab.”
Terry menamatkan kerjaya 22 tahun bersama Chelsea apabila kontraknya tidak disambung selepas berakhir musim lepas, dan beliau menyertai kelab Liga Kejuaraan, Aston Villa pada bulan lepas. - AFP