Utusan Borneo (Sabah)

Asyraaf mahu anak didik yakin dan berani

- Oleh VITALIS G BINGKASAN

KOTA KINABALU: Mohd Asyraaf Fong Abdullah mahu melihat persembaha­n berani dan yakin skuad bola sepak wanita kebangsaan apabila berhadapan India pada perlawanan persahabat­an antarabang­sa, 29 dan 31 Julai ini.

Ketua jurulatih berasal dari Tawau Sabah itu berkata, ia adalah perlawanan pemanas badan bagi skuad kebangsaan sebelum menghadapi saingan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Perlawanan persahabat­an antarabang­sa itu berlangsun­g di Stadium Kompleks Sukan PKNS pada 29 Julai dan Stadium Selayang iaitu salah satu venue Sukan SEA pada 31 Julai.

“India adalah juara Asia Selatan tahun ini dan ranking dunia lebih tinggi iaitu di kedudukan 60 berbanding Malaysia di ranking 80. Bagaimanap­un, kita telah buat persiapan sebaik yang termampu dan sudah bersedia.

“Saya harap pemain dapat buat semua yang dipraktikk­an dalam latihan terutama formasi taktikal 3-4-3 dan 4-2-3-1. Saya mahu pemain yakin dan berani berhadapan dengan lawan yang lebih kuat,” kata Asyraaf ketika dihubungi di Kuala Lumpur pada Selasa.

Beliau berkata, perlawanan itu juga perlu dijadikan medan bagi pemain membutkika­n bahawa mereka berhak dan sewajarnya mendapat sokongan padu penyokong bola sepak tanah air terutamany­a semasa Sukan SEA nanti.

Malaysia yang disasarkan pingat gangsa akan berhadapan dengan lawan yang berada di ranking lebih tinggi pada Sukan SEA nanti iaitu Thailand yang berada di ranking 29, Vietnam (32), Myanmar (45) dan Filipina (71).

Malaysia akan memulakan cabaran Sukan SEA menentang Filipina pada 15 Ogos diikuti Myanmar (17 Ogos), Thailand (20 Ogos) dan Vietnam (24 Ogos).

Ini adalah tugasan pertama Asyraaf yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai ketua jurulatih bola sepak wanita di saingan Sukan SEA.

Skuad bola sepak wanita kebangsaan dibarisi ramai pemain Sabah dan telah menjalani tiga fasa latihan yang berpangkal­an di UMS bermula perghujung tahun lalu sebelum beralih ke Jeonsa Majlis Sukan Negara (MSN) Kuala Lumpur untuk fasa akhir bermula 3 Julai lalu.

Kesebelasa­n utama yang dijangka akan disenaraik­an menentang India adalah Nurul Azurin Mazlan, Eslilah Esar, Uslizah Usman, Malini Nordin, Shereilynn Elly Pius, Haindee Mosroh, Jaciah Jumilis, Dadree Rofinus, Masturah Majid, Nurul Athirah Mamat dan JI Fedalliah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia