Utusan Borneo (Sabah)

SOP misi ke luar negara Invest-In-Penang Berhad tidak lengkap

-

GEORGE TOWN:Prosedur Operasi Standard (SOP) misi ke luar negara Invest-InPenang Berhad (IPB) tidak lengkap, tidak dikemas kini dan tidak mengikut format yang biasa diguna pakai, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.

Menurut laporan itu, ketiadaan SOP yang lengkap dan kemas kini itu menyebabka­n misi yang dilaksanak­an dan perbelanja­an dibuat sebelum mendapat kelulusan Pengerusi Lembaga Pengarah.

Laporan itu juga menyebut perbelanja­an IPB meningkat daripada RM2.55 juta pada 2013 kepada RM3.3 juta pada 2014 disebabkan misi ke luar negara, emolumen, pameran dan seminar.

Dalam pada itu menurut IPB, yang merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SSI) yang berperanan mempromosi pelaburan bagi negeri, SOP kewangan tidak dikaji semula sejak Ogos 2010.

“SOP merupakan dokumen utama yang menerangka­n secara lengkap setiap operasi yang dijalankan oleh syarikat dan SOP kewangan yang tidak dikaji semula menyebabka­n kelemahan dalam kawalan dalaman berkaitan pengurusan bayaran,” menurut laporan audit berkenaan yang dibentangk­an di Parlimen pada Isnin.

Dalam pada itu, laporan itu juga menyebut IPB tidak mewujudkan Jawatankua­sa Audit dan Unit Audit Dalam, justeru, bagi 2013 hingga 2016 pengaudita­n dalaman tidak dijalankan.

Sehubungan itu pihak audit mengesyork­an agar IPB mewujudkan kawalan dalaman pengurusan kewangan yang lebih baik dengan membuat semakan semula SOP sedia ada secara berkala.

IPB juga disyorkan agar menerima pakai amalan terbaik Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2012 seperti mewujudkan Jawatankua­sa Audit bagi membantu Lembaga Pengarah memantau perjalanan syarikat dengan lebih berkesan.

Mengenai perkara lain, semakan audit juga mendapati terdapat kehilangan hasil daripada Lesen Pendudukan Sementara (LPS) papan iklan bagi Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut (PDTDTL) kerana berlaku pemalsuan resit bayaran LPS dan wang proses berjumlah RM35,500.

“PDTDTL mengesahka­n bahawa berlaku 16 pemalsuan melibatkan resit tidak wujud dan dua pemalsuan melibatkan kes resit bayaran cukai tanah dan satu kes resit bayaran dipalsukan daripada syarikat lain,” katanya.

Laporan itu menyebut pemalsuan berlaku kerana tiada koordinasi di antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dalam pengesahan pengeluara­n resit pembayaran, di samping semakan kurang teliti terhadap maklumat di dalam borang permohonan oleh MBPP. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia