Utusan Borneo (Sabah)

Pemohon lebih had kelayakan dapat rumah kos rendah di P.Pinang

-

GEORGETOWN: Pematuhan terhadap syarat permohonan Program Perumahan Kos Rendah (PPKR) di Pulau Pinang tidak memuaskan kerana ada pemohon yang melebihi hak kelayakan mendapat rumah, manakala yang benar-benar layak masih menunggu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1.

Laporan itu menyebut, bagi tempoh 2014 hingga 2016, seramai 208 pemohon yang berpendapa­tan melebihi RM2,500 menerima rumah kos rendah dan pemohon berpendapa­tan antara RM2,501 hingga RM3,500 mencatat bilangan kelulusan tertinggi iaitu 162 pemohon.

“Bagi tempoh sama, didapati sebanyak empat kes permohonan diluluskan melibatkan pemohon yang mempunyai pendapatan melebihi RM8,500,” menurut laporan audit berkenaan yang dibentangk­an di Parlimen pada Isnin.

Laporan itu juga menyebut terdapat 490 pemohon PPKR dan 666 pemohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) belum mendapat rumah walaupun mendaftar permohonan melebihi 15 tahun.

Antara sebab (masalah) itu ialah kelemahan proses migrasi data pemohon dari sistem lama kepada baharu dan audit juga mendapati tiada perancanga­n untuk pembanguna­n projek perumahan baharu walaupun Akaun Amanah Pelbagai Bagi Pembiayaan Projek Perumahan Awam Kos Rendah mempunyai baki yang tinggi.

Menurut laporan itu sehingga Ogos 2016, akaun amanah berkenaan mempunyai baki sejumlah RM121.99 juta dan terimaan sejak 2013 tidak dibelanjak­an.

Laporan itu juga menyebut sebanyak 436 PPR masih kosong walaupun sebanyak 3,747 permohonan bagi enam rancangan perumahan di Pulau Pinang masih dalam senarai menunggu rumah PPR.

“Pengurusan pengagihan rumah kurang memuaskan kerana kegagalan menawarkan sebahagian unit rumah dan ini menyebabka­n kerajaan negeri kehilangan hasil sewa dan tindakan proses pengisian unit kosong juga perlahan walaupun terdapat pemohon dalam senarai menunggu,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia